QUITO: Pasukan tentera Ecuador merampas sebuah 'narco-submarine' sepanjang 35 meter yang disembunyikan di dalam hutan simpan berhampiran sempadan negara itu dengan Colombia.
Kapal separa tenggelam itu ditemui sarat dengan 22,700 liter bahan api, dipercayai bersedia untuk perjalanan penyeludupan dadah jarak jauh.
Advertisement
Menurut Kementerian Pertahanan Ecuador, ia ditemui dalam kawasan paya bakau di Hutan Simpan Cayapas–Mataje, bersama sebuah kem yang digunakan sebagai pusat logistik sindiket penyeludupan.
Turut dirampas enam bot laju, tujuh enjin sangkut dan puluhan tong bahan api.
Ketika operasi dijalankan, tentera dilaporkan ditembak oleh individu bersenjata, namun pihak berkuasa tidak menyebut sebarang tangkapan atau rampasan dadah.
Penemuan besar ini berlaku sejurus selepas Presiden Daniel Noboa mengumumkan "fasa baharu" dalam perang menentang kartel dadah.
Ecuador, yang berada di antara Colombia dan Peru, dua pengeluar kokain terbesar dunia, kini menjadi laluan penting penyeludupan dadah menuju ke AS, Eropah dan Australia.
Pihak berkuasa juga mengesahkan bahawa Noboa sedang meningkatkan kerjasama keselamatan dengan pentadbiran AS.
Awal minggu ini, beliau mengadakan perbincangan keselamatan dengan Komander Markas Pemerintahan Selatan Amerika Syarikat (AS), Jeneral Francis Donovan, di Quito.
Namun, tiada penglibatan tentera AS dilaporkan dalam operasi yang menemukan narco-sub tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, AS meneruskan operasi maritim agresif melalui 'Operation Southern Spear', yang sejak September telah melancarkan puluhan serangan ke atas bot yang disyaki membawa dadah di Pasifik dan Caribbean, tindakan yang mengakibatkan lebih 150 kematian setakat ini.