ANKARA: Tentera Israel telah memusnahkan sekurang-kurangnya 16 tanah perkuburan di Gaza, lapor Agensi Anadolu.

Pakar undang-undang yang dipetik dalam laporan itu menegaskan bahawa tindakan memusnahkan tapak keagamaan seperti tanah perkuburan dengan sengaja dan menjadikannya sasaran tentera, merupakan pelanggaran undang-undang antarabangsa yang menunjukkan bahawa tindakan Israel boleh dianggap sebagai jenayah perang.

Tentera Israel juga dilihat telah menggunakan tanah perkuburan yang diratakan sebagai pos tentera.

Jurucakap tentera Israel mengesahkan mereka telah menggali beberapa kubur di Gaza, dengan mendakwa ia dilakukan untuk menentukan sama ada tebusan Israel yang ditahan pada 7 Okt dikebumikan di situ.

Israel melancarkan serangan maut di Semenanjung Gaza sejak 7 Okt, membunuh sekurang-kurangnya 25,105 rakyat Palestin dan mencederakan 62,681 yang lain.

Serangan tentera penceroboh Israel telah menyebabkan 85 peratus penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal di tengah-tengah kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan, manakala 60 peratus infrastruktur wilayah itu rosak atau musnah, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

-- BERNAMA