Tentera Israel serbu wilayah selatan Syria

Saluran TV Al-Ikhbariya melaporkan bahawa rejim Zionis mara ke kampung Al-Owainia di utara Quneitra dan menyerbu dua buah rumah.
ISTANBUL: Pasukan tentera Israel memasuki kawasan luar bandar Quneitra di selatan Syria pada Rabu, lapor Anadolu Ajansi yang memetik media tempatan Syria.
Saluran TV milik kerajaan Syria Al-Ikhbariya melaporkan bahawa rejim Zionis mara ke kampung Al-Owainia di utara Quneitra dan menyerbu dua buah rumah.
Satu lagi unit tentera Israel yang terdiri daripada lapan kenderaan tentera, termasuk sebuah jentolak dan dua kereta kebal, turut mara ke bandar Samadaniyah timur dan berada di kawasan itu selama beberapa jam sebelum berundur semula ke bandar Quneitra.
Tiada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh tentera Israel berhubung laporan itu setakat ini.Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, tentera Israel melancarkan beberapa serbuan rentas sempadan ke wilayah selatan Syria, termasuk Quneitra, walaupun terdapat gesaan antarabangsa agar menghentikan pencabulan terhadap kedaulatan Syria.
Selepas kejatuhan rejim Bashar al-Assad pada akhir 2024, Israel memperluas pendudukannya di Dataran Tinggi Golan Syria dengan merampas zon penampan bebas tentera, satu tindakan yang melanggar Perjanjian Pengunduran 1974 dengan Syria.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami