DUNIA
Tentera Udara Singapura, Malaysia tamatkan latihan mencari dan menyelamat bersama

MINDEF berkata latihan dua hala itu melibatkan helikopter H225M RSAF dan helikopter EC725 TUDM bersama anak kapal, kakitangan di lapangan dan pasukan perubatan dari kedua-dua tentera udara. Gambar Facebook Ministry of Defence, Singapore.
SINGAPURA: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) pada Jumaat menamatkan Eksesais Mencari dan Menyelamat (SAREX) MALSING edisi ketujuh di Pangkalan Udara Sembawang, sekali gus mengukuhkan komitmen bersama terhadap keselamatan serantau dan kerjasama kemanusiaan.
Kementerian Pertahanan Singapura (MINDEF) berkata latihan dua hala itu melibatkan helikopter H225M RSAF dan helikopter EC725 TUDM bersama anak kapal, kakitangan di lapangan dan pasukan perubatan dari kedua-dua tentera udara.
"Latihan tahunan dua hala ini mempamerkan profesionalisme dan hubungan baik yang dikongsi oleh anggota kedua-dua tentera udara, di samping menekankan hubungan pertahanan yang mesra dan telah lama terjalin antara Singapura dan Malaysia," kata MINDEF dalam satu kenyataan.
Latihan tiga hari itu menyaksikan para peserta dari kedua-dua negara bersama-sama melaksanakan beberapa operasi pemindahan perubatan menggunakan helikopter, termasuk senario mencari dan menyelamat (SAR) pada waktu siang dan malam yang direka untuk meningkatkan perancangan dan pelaksanaan misi dalam persekitaran latihan yang realistik.Peserta turut menjalankan operasi mencari mangsa yang terselamat dalam simulasi insiden di luar pesisir pantai selatan Singapura dan menjalankan operasi pemindahan mangsa menggunakan win untuk segera memindahkan mangsa yang terapung di laut.
Ketua Turus (Staf Tentera Udara) Singapura, Brigedier Jeneral Ho Kum Luen, dalam ucapan perasmiannya pada 3 Sept, berkata menerusi latihan itu, kedua-dua tentera udara bukan sahaja mengukuhkan hubungan profesional tetapi juga mengeratkan lagi hubungan peribadi dan membina kepercayaan bersama.
"Malaysia dan Singapura akan sentiasa terikat dengan sejarah, geografi, budaya dan persaudaraan yang dikongsi bersama. Hubungan strategik dan profesional yang ingin kita bina antara kedua-dua Tentera Udara tidak mungkin terjalin tanpa hubungan interpersonal yang kukuh," katanya.
Sementara itu, Timbalan Panglima TUDM Leftenan Jeneral Datuk Nur Hafis Abdul Karim berkata latihan seperti SAREX MALSING memastikan kedua-dua tentera udara bukan sahaja berkhidmat untuk keselamatan negara masing-masing, malah demi kebaikan masyarakat antarabangsa.
"Peranan kita dalam keselamatan serantau bukan sekadar mengekalkan keamanan dan ketenteraman dalam sempadan sendiri. Kita adalah pemain utama dalam membentuk masa depan, terutamanya di rantau ASEAN," katanya.
Sejak sekian lama, RSAF dan TUDM telah kerap berinteraksi dan bekerjasama dalam pelbagai aktiviti, termasuk lawatan dua hala dan pertukaran profesional, serta latihan pelbagai hala di bawah Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA).
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami