[TERKINI] 64 maut dalam serbuan besar-besaran polis di Rio de Janeiro
![[TERKINI] 64 maut dalam serbuan besar-besaran polis di Rio de Janeiro [TERKINI] 64 maut dalam serbuan besar-besaran polis di Rio de Janeiro](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-10/51761686036_raidpolicebrazil.jpg)
Anggota unit khas polis tentera menahan suspek pengedar dadah dalam operasi membanteras aktiviti penyeludupan dadah di kawasan setinggan Penha, Rio de Janeiro, Brazil, pada Selasa. - Gambar Reuters
RIO DE JANEIRO: Sekurang-kurangnya 64 individu dilaporkan maut dalam satu operasi besar-besaran pihak berkuasa Brazil yang menyasarkan aktiviti jenayah terancang di Rio de Janeiro pada Selasa, menurut pegawai keselamatan kepada CNN Brasil.
Antara yang terkorban termasuk empat anggota polis Brazil, manakala puluhan lagi dipercayai ahli kumpulan jenayah Comando Vermelho (CV).
Rakaman video yang diperoleh CNN Brasil menunjukkan beberapa kebakaran berlaku di kawasan serbuan, dengan bunyi tembakan kedengaran di latar belakang.
Menurut kenyataan rasmi kerajaan negeri Rio de Janeiro di platform X, operasi itu bertujuan untuk “mengekang peluasan wilayah” kumpulan jenayah CV, yang dikenali sebagai organisasi jenayah tertua di Brazil.
CV bermula sebagai gerakan tahanan berhaluan kiri semasa pemerintahan diktator tentera Brazil sehingga tahun 1985, sebelum berkembang menjadi sindiket jenayah transnasional yang terlibat dalam penyeludupan dadah dan pemerasan.
Operasi yang dirancang selama lebih setahun itu melibatkan lebih 2,500 anggota polis tentera dan awam.
Penjenayah didakwa guna dron serang polis
Setakat ini, pihak berkuasa telah menahan sekurang-kurangnya 81 individu dan merampas 42 laras senapang.
Gabenor Negeri Rio de Janeiro, Cláudio Castro, memaklumkan jumlah korban mungkin meningkat memandangkan operasi masih berjalan.
Dalam satu kenyataan di media sosial, pihak berkuasa mendakwa, kumpulan penjenayah menggunakan dron untuk menyerang anggota polis di Kompleks Penha.
Video yang dikongsi menunjukkan dron melepaskan projektil dari udara ke arah pasukan keselamatan.
“Walaupun diserang, pasukan keselamatan tetap teguh dalam usaha memerangi jenayah,” kata kerajaan negeri.
Castro turut menyifatkan ancaman yang dihadapi kini bukan lagi jenayah biasa, tetapi “narko-keganasan” – istilah yang sering digunakan oleh pemimpin yang tegas terhadap jenayah di Amerika Latin dan Amerika Syarikat.
Beliau turut menggesa penduduk di kawasan terjejas agar kekal berada di dalam rumah sepanjang operasi dijalankan. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


