DUNIA
[TERKINI] Hamas setuju terima pelan damai, lepaskan tebusan Israel, tapi enggan lucut senjata
![[TERKINI] Hamas setuju terima pelan damai, lepaskan tebusan Israel, tapi enggan lucut senjata [TERKINI] Hamas setuju terima pelan damai, lepaskan tebusan Israel, tapi enggan lucut senjata](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-09/61756982796_TBQassam.jpg)
Hamas mengumumkan kesediaan untuk “segera” memasuki rundingan bagi membebaskan semua tebusan Israel berdasarkan pelan damai Gaza yang dikemukakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump. - Gambar fail AP
GAZA: Pasukan pejuang Palestin, Hamas mengumumkan kesediaan untuk “segera” memasuki rundingan bagi membebaskan semua tebusan Israel berdasarkan pelan damai Gaza yang dikemukakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump – satu perkembangan yang dilihat berpotensi memecah kebuntuan selepas berbulan-bulan usaha gencatan senjata gagal.
Bagaimanapun, kumpulan itu tidak menerima pelan Trump tanpa syarat.
Hamas menegaskan, ia bersedia untuk memasuki rundingan segera melalui perantara bagi membincangkan butiran pertukaran tebusan, selain menyatakan kesediaan menyerahkan pentadbiran Gaza kepada “sebuah pihak berkuasa Palestin yang bebas (teknokrat), berdasarkan konsensus nasional Palestin serta sokongan Arab dan Islam.”
Dua tuntutan utama pelan Trump adalah pembebasan baki 48 tebusan dalam tempoh 72 jam serta penyerahan kuasa pentadbiran Gaza, yang pada awalnya dilihat sebagai ‘garisan merah’ untuk Hamas.Namun, persetujuan awal kumpulan itu terhadap dua syarat tersebut memberi laluan kepada cadangan gencatan senjata yang kini mendapat sokongan antarabangsa, meskipun perjanjian muktamad masih jauh untuk dicapai.
Qatar, Mesir dan Turkiye kini meningkatkan tekanan agar Hamas menerima cadangan tersebut.
Namun, kenyataan Hamas tidak menyentuh isu perlucutan senjata atau pemusnahan persenjataan – syarat kritikal dalam pelan Trump yang berulang kali ditolak kumpulan itu.
Hamas juga tidak mengulas mengenai cadangan penubuhan jawatankuasa antarabangsa yang diketuai Trump – digelar “Board of Peace” – bagi menyelia pentadbiran Gaza.
Sebaliknya, Hamas menegaskan, isu lain yang disebut dalam cadangan AS “berkaitan masa depan Gaza dan hak mutlak rakyat Palestin” akan dibincangkan kemudian dalam sebuah kerangka nasional Palestin yang menyeluruh.
Kumpulan itu juga menegaskan ia akan “turut serta dan memberi sumbangan penuh tanggungjawab” dalam kerangka tersebut, bertentangan dengan syarat pelan Trump yang mahu Hamas tidak memainkan sebarang peranan dalam pentadbiran Gaza, sama ada secara langsung atau tidak.
Trump sebelum ini memberi kata dua kepada Hamas sehingga Ahad, jam 6 petang waktu AS, untuk menerima pelan itu atau berdepan “neraka yang belum pernah dilihat.”
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pula menegaskan Israel bersetuju dengan kerangka pelan tersebut, yang antara lain merangkumi penamatan perang, pembebasan tebusan serta rancangan pembangunan semula Gaza.
Trump menggambarkan pengumuman itu sebagai “salah satu hari terbesar dalam peradaban.”
Pelan Trump turut menggariskan pembebasan 250 tahanan Palestin yang berdepan hukuman penjara seumur hidup serta 1,700 tahanan yang ditahan sejak perang bermula, sebagai pertukaran dengan pembebasan 48 tebusan Israel, 20 daripadanya dipercayai masih hidup.
Selain itu, infrastruktur Hamas di Gaza akan dimusnahkan sepenuhnya di bawah pemantauan pemerhati bebas, manakala sebuah Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) yang diketuai rakan Arab akan mengambil alih keselamatan buat sementara waktu.
Gaza pula akan ditadbir oleh sebuah jawatankuasa Palestin di bawah seliaan antarabangsa sehingga Pihak Berkuasa Palestin yang direformasi bersedia mengambil alih.
Walaupun terdapat perselisihan dalam kepimpinan Hamas – antara sayap politik di luar negara dan komander tentera di Gaza – penganalisis percaya masih ada ruang untuk perundingan bagi memeterai perjanjian, meskipun syarat perlucutan senjata kekal menjadi batu penghalang. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami