DUNIA
[TERKINI] Iran, Israel saling berbalas serangan, ketegangan semakin memuncak
![[TERKINI] Iran, Israel saling berbalas serangan, ketegangan semakin memuncak [TERKINI] Iran, Israel saling berbalas serangan, ketegangan semakin memuncak](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-06/41749862072_TBIsraelIran.jpg)
Anggota penyelamat dan keselamatan menjalankan tugas di lokasi susulan serangan peluru berpandu dari Iran ke atas Israel, di Ramat Gan, Israel, 13 Jun 2025. REUTERS
IRAN dan Israel melancarkan serangan udara terhadap satu sama lain awal pagi Sabtu.
Ringkasan AI
- Iran dan Israel saling melancarkan serangan udara awal pagi Sabtu, susulan serangan besar Israel yang bertujuan menghalang pembangunan senjata nuklear oleh Iran.
- Sistem pertahanan udara kedua-dua negara diaktifkan untuk memintas peluru berpandu; beberapa letupan dilaporkan di Tel Aviv, Baitulmaqdis dan Tehran, dengan puluhan peluru berpandu dilancarkan dan sekurang-kurangnya seorang maut serta 34 cedera di Israel.
- Ketegangan meningkat dan mencetuskan kebimbangan terhadap konflik serantau lebih besar, walaupun sekutu Iran seperti Hamas dan Hizbullah telah dilemahkan oleh Israel.
Tentera Israel memaklumkan bahawa sistem pertahanan udaranya diaktifkan untuk memintas peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran.
“Dalam sejam terakhir, puluhan peluru berpandu telah dilancarkan dari Iran ke arah Israel, sebahagiannya berjaya dipintas,” menurut kenyataan tentera Israel.
Iran juga telah mengaktifkan sistem pertahanan udaranya untuk memintas serangan dari Israel.
Pasukan penyelamat Israel dilaporkan sedang beroperasi di beberapa lokasi di seluruh negara haram itu susulan laporan mengenai objek jatuh, namun pihak tentera belum mengesahkan jumlah korban atau kecederaan.
Sementara itu, media Iran, Tasnim, melaporkan beberapa letupan berlaku di ibu negara Tehran.
Media Israel pula melaporkan sebuah peluru berpandu dipercayai jatuh di Tel Aviv, manakala seorang saksi mendengar bunyi letupan kuat di Baitulmaqdis.
Menurut agensi berita Fars, Iran telah melancarkan gelombang ketiga serangan udara pada Sabtu, selepas dua serangan terdahulu pada Jumaat malam.
Serangan tersebut adalah tindak balas kepada serangan awal Israel ke atas Iran yang menyasarkan komander tentera, saintis nuklear, serta kemudahan ketenteraan dan nuklear.
Perkhidmatan ambulans Israel melaporkan seramai 34 orang cedera pada Jumaat malam di kawasan Tel Aviv, kebanyakannya cedera ringan.
Polis kemudiannya mengesahkan seorang mangsa meninggal dunia.
Dua pegawai Amerika Syarikat memaklumkan bahawa tentera AS membantu memintas peluru berpandu Iran yang menuju ke Israel.
Tentera Israel pula berkata Iran telah melancarkan kurang daripada 100 peluru berpandu, yang kebanyakannya berjaya dipintas atau gagal mencapai sasaran.
Bagaimanapun, beberapa bangunan di dalam dan sekitar Tel Aviv dilaporkan terkena serangan.
Ketegangan yang memuncak ini mencetuskan kebimbangan terhadap risiko konflik serantau yang lebih besar, meskipun sekutu Iran seperti Hamas di Gaza dan Hizbullah di Lubnan telah dilemahkan oleh Israel. - Agensi

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami