Skip to main content

Dunia

ASEAN mahu percepat operasi pusat penyelarasan kawalan jerebu rentas sempadan

Theresa Lazaro (foto) berkata Indonesia dalam mesyuarat itu memaklumkan bahawa negara berkenaan sedang mengambil tindakan serta menggembleng usaha bagi menangani isu pencemaran jerebu. -Foto Reuters
Theresa Lazaro (foto) berkata Indonesia dalam mesyuarat itu memaklumkan bahawa negara berkenaan sedang mengambil tindakan serta menggembleng usaha bagi menangani isu pencemaran jerebu. -Foto Reuters
Advertisement

MANILA: Menteri-menteri Luar ASEAN mahu mempercepatkan pengoperasian Pusat Penyelarasan ASEAN bagi kawalan pencemaran jerebu rentas sempadan susulan kebimbangan terhadap pencemaran udara serius yang kembali menjejaskan beberapa negara di Asia Tenggara.

Perkara itu dibangkitkan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN di sini, pada Sabtu, dengan tumpuan kepada keperluan memperkukuh tindakan bersama dalam menangani kebakaran hutan dan tanah yang menjadi punca jerebu rentas sempadan.

Laporan Agensi Berita Filipina (PNA) memetik Setiausaha Luar Filipina, Ma Theresa Lazaro sebagai berkata, Indonesia dalam mesyuarat itu memaklumkan bahawa negara berkenaan sedang mengambil tindakan serta menggembleng usaha bagi menangani isu pencemaran jerebu.

Advertisement

"Singapura dan Malaysia turut memberikan maklum balas positif terhadap penjelasan yang disampaikan Indonesia berhubung langkah menangani masalah berkenaan.

"Perbincangan turut menyentuh tindakan yang sedang dilaksanakan di peringkat nasional serta kerjasama serantau bagi mengurangkan risiko kebakaran hutan dan tanah," katanya di sini pada Sabtu.

Advertisement

Sebelum ini, kebakaran hutan berskala besar di Indonesia mencetuskan pencemaran jerebu yang turut merebak ke beberapa negara jiran, termasuk Filipina, sehingga menyebabkan pembatalan sesi persekolahan di beberapa kawasan pada separuh kedua tahun ini.

ASEAN menerima pakai Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan pada 2002 bagi mencegah dan memantau pencemaran udara akibat kebakaran hutan serta tanah.

Menerusi perjanjian itu, ASEAN turut diberi mandat menubuhkan Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Kawalan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (ACC THPC) bagi menyelaras usaha menangani kesan pencemaran berkenaan

Must Watch Video

Advertisement