DUNIA
[TERKINI] Putin tawar Rusia jadi pengantara dalam konflik Iran-Israel
![[TERKINI] Putin tawar Rusia jadi pengantara dalam konflik Iran-Israel [TERKINI] Putin tawar Rusia jadi pengantara dalam konflik Iran-Israel](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-06/71749459241_RussianPresidentPu.jpg)
Putin (gambar) menegaskan semula sokongan penuh Rusia terhadap usaha damai dalam menyelesaikan isu berkaitan program nuklear Iran. - Gambar fail/REUTERS
ISTANBUL: Presiden Vladimir Putin pada Jumaat menyatakan kesediaan Rusia untuk menjadi pengantara antara Israel dan Iran bagi membantu mengelakkan ketegangan daripada terus memuncak susulan gelombang serangan udara Israel ke atas wilayah Iran, menurut Kremlin.
Ringkasan AI
- Presiden Rusia Vladimir Putin menawarkan diri sebagai pengantara antara Israel dan Iran untuk meredakan ketegangan susulan serangan udara Israel ke atas Iran.
- Putin menghubungi pemimpin kedua-dua negara, mengecam serangan Israel dan menyeru penyelesaian secara damai melalui rundingan politik dan diplomatik.
- Rusia menyatakan sokongan penuh terhadap usaha damai, manakala Iran berikrar akan memberi respons keras selepas serangan yang mensasarkan bandar utama dan kemudahan strategik negara itu.
"Kepentingan untuk menyelesaikan semua isu berkaitan program nuklear Iran secara eksklusif melalui kaedah politik dan diplomatik turut ditekankan," menurut Kremlin dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa Moscow bersedia menawarkan khidmat pengantaraan "bagi mengelakkan ketegangan selanjutnya."
Pejabat Perdana Menteri Israel sebelum itu memaklumkan bahawa Netanyahu merancang untuk memberi taklimat kepada Putin mengenai perkembangan terkini.
Dalam perbualannya dengan Pezeshkian, Putin menyampaikan ucapan takziah kepada kepimpinan dan rakyat Iran berhubung korban akibat serangan Israel. Moscow turut "mengutuk sekeras-kerasnya" tindakan Israel yang disifatkan melanggar Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa.
Putin menegaskan semula sokongan penuh Rusia terhadap usaha damai dalam menyelesaikan isu berkaitan program nuklear Iran.
Pemimpin Tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei berikrar akan memberikan respons keras, yang bermula pada Jumaat malam susulan operasi ketenteraan Israel pada awal pagi hari yang sama, menyasarkan kemudahan nuklear dan ketenteraan Iran serta membunuh beberapa pegawai tertinggi tentera dan saintis terkemuka negara itu.
Serangan berterusan sehingga Jumaat malam melibatkan bandar seperti Tehran, Natanz, Tabriz dan Isfahan.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami