[TERKINI] Thailand lancar serangan udara ke atas Kemboja
![[TERKINI] Thailand lancar serangan udara ke atas Kemboja [TERKINI] Thailand lancar serangan udara ke atas Kemboja](https://resizer-vortals.eco.astro.com.my/tr:w-auto,h-auto,q-80,f-webp/https://img.astroawani.com/2025-12/81765161278_ThailandCambodia.jpg)
Seorang askar Kemboja melintasi bangunan yang rosak akibat serangan artileri di sepanjang sempadan Thailand-Kemboja. - Gambar Reuters
BANGKOK: Thailand melancarkan serangan udara ke atas Kemboja pada Isnin selepas pertempuran baharu tercetus di sempadan kedua-dua negara Asia Tenggara itu, sekali gus menandakan kemungkinan runtuhnya pelan damai yang dipengerusikan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dua bulan lalu.
Kedua-dua pihak saling menuduh melancarkan serangan di kawasan sempadan yang dipertikaikan pada pagi Isnin, selepas beberapa minggu ketegangan memuncak dan penggantungan kemajuan perjanjian gencatan senjata oleh Thailand.
Seorang pegawai tentera Thailand berkata serangan udara ke atas kedudukan tentera Kemboja adalah tindakan balas terhadap serangan awal pagi yang mengorbankan seorang askar Thailand dan mencederakan dua lagi.
“Sasaran adalah kedudukan sokongan senjata Kemboja di kawasan Chong An Ma Pass kerana mereka menggunakan meriam dan pelancar mortar untuk menyerang pihak Thailand di Pangkalan Anupong, menyebabkan seorang askar terbunuh dan dua cedera,” kata Mejar Jeneral Winthai Suvaree.
Tentera Thailand memaklumkan, Kemboja mula menembak ke arah sempadan Thailand sekitar jam 3 pagi waktu tempatan pada Isnin.
Dalam kenyataan berasingan, tentera Kemboja menuduh pihak Thailand melancarkan serangan ke atas pasukan mereka sekitar jam 5.04 pagi.
“Perlu diingat serangan ini berlaku selepas tentera Thailand melakukan pelbagai tindakan provokatif selama beberapa hari,” menurut kenyataan itu.
Sekitar 70 peratus penduduk awam Thailand telah dipindahkan dari bandar sempadan, menurut kenyataan pihak berkuasa negara itu.
Satu kematian orang awam dilaporkan ketika proses pemindahan akibat masalah kesihatan sedia ada.
Thailand dan Kemboja sebelum ini terlibat dalam konflik sempadan selama lima hari pada Julai yang mengorbankan puluhan nyawa dan menyebabkan kira-kira 200,000 penduduk di kedua-dua belah sempadan dipindahkan.
Gencatan senjata awal antara kedua-dua pihak dicapai pada 28 Julai selepas Trump mengadakan panggilan dengan pemimpin masing-masing.
Thailand dan Kemboja kemudian menandatangani deklarasi gencatan senjata yang diperluas di Kuala Lumpur pada akhir Oktober, dalam satu majlis yang disaksikan Trump dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketika itu, Trump menganggap detik berkenaan sebagai kejayaan diplomatik besar, sekali gus mengukuhkan kempen beliau yang sering dipertikaikan untuk menamatkan beberapa konflik.
Namun, kurang dua minggu selepas perjanjian ditandatangani, hubungan antara Thailand dan Kemboja mula goyah.
Thailand mengumumkan, ia menghentikan kemajuan perjanjian selepas letupan periuk api di sempadan mencederakan beberapa askar Thailand.
Thailand dan Kemboja pernah terlibat dalam pertempuran singkat sejak beberapa dekad lalu berhubung sempadan yang dipertikaikan, namun pertempuran kali ini disifatkan antara yang paling serius dalam beberapa tahun.
Kedua-dua pihak saling menuduh memulakan ketegangan terbaharu dan terus berbalas tuduhan atas insiden berkenaan. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


