GAZA: Hujan lebat dan angin kencang melanda Semenanjung Gaza pada Khamis, menenggelamkan ratusan khemah yang menempatkan penduduk yang kehilangan tempat tinggal, kata pegawai.
Mahmoud Basal, jurucakap Pertahanan Awam di Gaza, memberitahu Xinhua bahawa jabatan itu telah menerima ratusan panggilan daripada penduduk yang meminta bantuan selepas khemah mereka dinaiki air atau musnah akibat angin kencang.
Advertisement
Beliau menyifatkan keadaan itu sebagai "bencana," dengan memetik kekurangan keperluan asas dan perkhidmatan penting di tengah-tengah sekatan yang berterusan serta kerosakan pada infrastruktur.
Sementara itu, Ismail Thawabta, pengarah Pejabat Media Kerajaan di Gaza, berkata lebih 120,000 daripada lebih 130,000 khemah telah usang dan tidak boleh didiami akibat pendedahan berulang kali kepada ribut dan haba, sambil menambah bahawa lebih 280,000 keluarga telah hilang tempat tinggal.
Jawahir Shalash, seorang wanita berusia 43 tahun yang kehilangan tempat tinggal dan tinggal di sebuah khemah di Bandar Gaza, berkata air banjir telah memasuki tempat perlindungannya semalaman.
"Air sisa dan air kumbahan memasuki khemah saya, membasahi tempat tidur serta pakaian dan menyebabkannya tidak boleh didiami," katanya, sambil merayu untuk penyediaan segera karavan dan perumahan sementara.
Di kawasan lain, Mohammed al-Madhoun, seorang bapa kepada empat anak, dilihat sedang menimbun pasir di sekeliling khemahnya untuk menghalang banjir yang lebih teruk.
"Apa yang kami mahukan hanyalah hidup dengan bermaruah, bukannya bangun dan mendapati diri kami lemas dalam air hujan dan air kumbahan," katanya.
Jabatan Meteorologi Palestin berkata wilayah Palestin terus terjejas akibat ribut berkenaan, dengan penurunan suhu yang mendadak dan kelajuan angin mencapai sehingga 60km sejam.
-- BERNAMA-XINHUA