KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya, Israel terperangkap dalam perang yang dicetuskan di Iran.
Pengarah Institut Penyelidikan Isu Antarabangsa dan ASEAN (IINTAS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Phar Kim Beng menjangkakan perang akan reda kerana persenjataan pihak-pihak berperang semakin berkurangan dan hanya kedegilan pemimpin AS-Israel yang akan menyebabkan perang ini berlanjutan.
Advertisement
"Peperangan ini akan mencapai satu tahap yang mana aset-aset yang ada di tangan mereka itu semakin berkurangan dan difikirkan ia perlu disimpan. Pergerakan peperangan ini mungkin akan jadi lebih perlahan dan keadaan akan reda.
“Tetapi jika AS dan Israel degil dan tidak terima realiti sebenar bahawa ini satu formulasi yang strategik untuk kedua-dua negara ini, maka peperangan ini akan terus berlanjutan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.
Dalam temu bual sama, Pensyarah Pengajian Keselamatan Antarabangsa Universiti Emiriah Arab Bersatu, Prof. Dr. Mohd Mizan Aslam pula berpandangan AS di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump yang telah melancarkan serangan ke atas Iran ini sudah gagal untuk mencapai objektif asal misi ketenteraannya.
“Bagi saya, kalau AS gagal tukar rejim di Iran, maka peperangan ini gagal sepenuhnya di pihak AS. Walaupun telah dilakukan dengan pelbagai cara tetapi masih gagal.
“Bermakna mereka gagal dalam misi ini. Hendak keluar daripada perang, malu. Hendak teruskan perang, sakit (kos perang yang tinggi),” ujarnya.
AS dan Israel melancarkan serangan tanpa provokasi ke atas Iran pada 28 Februari lalu yang menyebabkan kematian pemimpin agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei.
Serangan udara tersebut juga dilaporkan telah memusnahkan sekolah perempuan, Shajareh Tayyiba, yang membunuh sekurang-kurangnya 175 orang, sebahagian besarnya kanak-kanak, berdasarkan maklumat dikongsikan pasukan penyiasat tentera AS.
Selain itu, sejak 12 hari lalu, kedua-dua pihak berbalas serangan dengan AS mendakwa telah melumpuhkan keupayaan tentera udara dan laut Iran. Manakala, Iran menyasarkan aset ketenteraan AS di negara-negara teluk, serta menyasarkan negara haram Israel.