PANAMA CITY: Pihak Berkuasa Terusan Panama memaklumkan akan mengurangkan jumlah kapal yang melalui pintu airnya setiap hari sebagai sebahagian langkah mengurangkan kesan El Nino, lapor Xinhua.
Pihak berkuasa itu pada Khamis memaklumkan taburan hujan yang lebih rendah di kawasan tadahan yang membekalkan air ke Tasik Gatun dan Alhajuela telah menjejaskan ketersediaan air bagi operasi terusan berkenaan.
Mulai 3 Sept 2026, jumlah slot harian di pintu air Neopanamax akan diselaraskan kepada sembilan, manakala slot harian di pintu air Panamax ditetapkan sebanyak 25.
Mulai 15 Sept, slot harian Panamax akan dikurangkan lagi kepada 23, menurut pihak berkuasa itu dalam kenyataan.
Pengurangan jumlah kapal yang melalui terusan setiap hari boleh meningkatkan tempoh menunggu bagi kapal yang tiba tanpa tempahan disahkan, menurut pihak berkuasa itu sambil mengesyorkan kapal menggunakan pilihan tempahan yang tersedia bagi mengelakkan kelewatan berpanjangan.
Pihak berkuasa itu turut memberi amaran bahawa jika perlu, Sistem Tempahan Transit boleh digantung sepenuhnya atau sebahagiannya buat sementara waktu.
Jika slot transit yang ditempah dibatalkan dalam keadaan sedemikian, kapal tidak akan dikenakan penalti, surcaj atau fi pembatalan.
Pihak berkuasa itu memaklumkan had maksimum kedalaman kapal 14.63 meter atau 48 kaki yang pada asalnya dijadual berkuat kuasa pada 26 Ogos, akan ditangguhkan hingga 2 Sept.
Pelarasan berikutnya bagi had maksimum kedalaman kapal yang dibenarkan kepada 14.48 meter atau 47.5 kaki, yang pada asalnya dijadual pada 3 Sept, akan ditangguhkan hingga 1 Okt.
Pihak Berkuasa Terusan Panama akan terus memantau dengan teliti keadaan cuaca, aliran masuk air ke kawasan tadahan dan paras tasik.
El Nino kuat sedang berkembang dan dijangka semakin menguat antara Ogos hingga Oktober 2026, membawa keadaan lebih kering daripada biasa ke bahagian selatan Amerika Tengah, menurut laporan terdahulu Pertubuhan Meteorologi Sedunia yang diterbitkan pada 31 Julai.
-- BERNAMA-XINHUA