DUNIA
Texas dilanda banjir kilat, 32 terbunuh termasuk 14 kanak-kanak

Pegawai keselamatan menyisir tebing Sungai Guadalupe selepas kawasan itu dilanda banjir kilat pada Sabtu. - Foto AP
TEXAS: Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) sedang giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat selepas banjir kilat melanda kawasan sekitar Sungai Guadalupe di Kerr County, Texas, mengorbankan sekurang-kurangnya 32 orang, termasuk 14 kanak-kanak.
Banjir berlaku secara tiba-tiba awal pagi Jumaat selepas hujan lebat luar biasa membanjiri kawasan perkemahan musim panas, termasuk Camp Mystic, sebuah kem Kristian untuk kanak-kanak perempuan. Empat pelajar kem disahkan maut, manakala 27 lagi masih hilang, menurut pegawai tempatan.
Air sungai dilaporkan naik lebih 8 meter dalam masa 45 minit, menghanyutkan rumah, kenderaan dan memutuskan akses ke kawasan terpencil.
Lebih 850 orang telah diselamatkan, termasuk mangsa yang berpaut pada pokok dan terperangkap di kem yang musnah.Pasukan penyelamat menggunakan helikopter, bot dan dron untuk mencari mangsa di sepanjang sungai.
Ketua Pengurusan Kecemasan Texas, Nim Kidd, menegaskan bahawa operasi akan diteruskan tanpa henti sehingga semua mangsa ditemukan.
Presiden AS, Donald Trump, menyifatkan banjir sebagai “mengejutkan dan dahsyat”, dan telah meluluskan bantuan kecemasan persekutuan kepada Texas.
Sementara itu, Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Kristi Noem, dijadualkan melawat lokasi tragedi.
Pihak berkuasa kini berdepan tekanan awam berhubung sistem amaran banjir dan tindakan pantas kem musim panas, dengan persoalan sama ada amaran cuaca telah disampaikan secukupnya kepada pengendali kem dan penduduk setempat.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami