Skip to main content

Dunia

Thailand arah warga Israel diusir selepas sabitan kes ugutan

51733742339_TBGAVEL.jpg
Keputusan itu dibuat pada Sabtu susulan sabitan oleh Mahkamah Wilayah Koh Samui terhadap Ohayon kerana menghantar pesanan yang mengancam keselamatan mangsa sehingga menimbulkan ketakutan dan kebimbangan. -Gambar hiasan
Advertisement

BANGKOK: Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Thailand, Anutin Charnvirakul menandatangani perintah untuk mengusir seorang warga Israel, Yaacov Ohayon, dari negara itu selepas dia disabitkan kesalahan melakukan ugutan terhadap individu lain.

Keputusan itu dibuat pada Sabtu susulan sabitan oleh Mahkamah Wilayah Koh Samui terhadap Ohayon kerana menghantar pesanan yang mengancam keselamatan mangsa sehingga menimbulkan ketakutan dan kebimbangan, lapor The Nation.

Kementerian Dalam Negeri Thailand dalam satu kenyataan berkata tindakan lelaki itu dianggap bertentangan dengan ketenteraman awam, nilai moral dan kesejahteraan masyarakat.

Mahkamah Wilayah Koh Samui mendapati Ohayon bersalah di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan Thailand dan pada mulanya menjatuhkan hukuman penjara sebulan serta denda 10,000 baht (kira-kira RM1,300).

Bagaimanapun, pengakuan bersalahnya diambil kira oleh mahkamah di bawah Seksyen 78 Kanun Keseksaan, menyebabkan hukuman itu dikurangkan kepada 15 hari penjara dan denda 5,000 baht (kira-kira RM650).

Mahkamah turut menggantung hukuman penjara tersebut selama dua tahun.

Perintah pengusiran itu dikeluarkan mengikut Seksyen 5 Akta Deportasi B.E. 2499 (1956) bersama Fasal 4 Peraturan Pejabat Perdana Menteri Mengenai Pengusiran B.E. 2569 (2026).

Ohayon bagaimanapun berhak mengemukakan rayuan kepada Perdana Menteri Thailand dalam tempoh tujuh hari selepas menerima notis rasmi perintah berkenaan.

Kes itu turut mendapat perhatian media Thailand selepas Ohayon didakwa terlibat dalam satu pertengkaran di sebuah zoo di Koh Samui berhubung isu kemasukan ke premis berkenaan.

Insiden tersebut tular di media sosial dan mencetuskan perdebatan dalam kalangan masyarakat tempatan mengenai tingkah laku pelancong asing di destinasi pelancongan popular itu.

Must Watch Video

Advertisement