BANGKOK: Thailand melonggarkan lagi peraturan kemasukan ke negaranya, termasuk membatalkan pendaftaran praperjalanan bagi pelancong antarabangsa dan menarik balik syarat pemakaian pelitup muka di luar rumah bermula bulan depan, ketika negara itu menyaksikan penurunan kes COVID-19. 

Sebelum ini, negara itu mewajibkan pemakaian pelitup muka di luar rumah, sejak pertengahan tahun lalu apabila varian Delta memuncak.

Bloomberg yang memetik Menteri Pelancongan, Phiphat Ratchakitprakarn sebagai berkata, pasukan petugas COVID-19 juga meluluskan cadangan untuk membatalkan Pas Thailand kepada semua pengembara asing sebagai usaha memulihkan kembali industri pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik.

"Dengan kelonggaran ini, kami menjangkakan kemasukan kira-kira 1.5 juta pelancong asing sebulan, bagi baki tahun ini, melebihi sasaran satu juta pelancong yang ditetapkan sebelum ini," katanya di sini, pada Jumaat.

Pada ketika ini, pengembara asing dikehendaki memuat naik butiran vaksinasi dan insurans perubatan bernilai sekurang-kurangnya AS$10,000 (RM44,020) sebelum berlepas bagi mendapatkan Pas Thailand.

Langkah itu menerima bantahan daripada pemain industri yang menyifatkan langkah itu sebagai merumitkan kemasukan pelancong dan menggesa kerajaan untuk membatalkannya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Siam Park City Co., Wuthichai Luangamornlert memberitahu, pengumuman itu adalah berita baik kepada para industri pelancongan Thailand yang menunggu sekian lama.

Pun begitu katanya, industri pelancongan negara itu mungkin masih lagi 'lembab' ekoran ketiadaan pelancong dari China dan Rusia, yang merupakan sumber pelancong utama negara itu.