Bioeconomy Corporation sumbang RM39.9 bilion kepada KDNK

Pencapaian 20 tahun Bioeconomy Corporation mencerminkan keyakinan berterusan kerajaan terhadap peranannya dalam membangunkan bioekonomi negara ke tahap lebih berdaya saing.
KUALA LUMPUR: Bioeconomy Corporation menyumbang RM39.9 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sepanjang 20 tahun penubuhannya, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai pemacu utama pembangunan industri bioteknologi dan berasaskan bio negara.
Menerusi dua program utamanya, Status BioNexus dan Bio-based Accelerator (BBA) Bioeconomy Corporation telah memudah cara lebih RM14.6 bilion pelaburan yang diluluskan, menjana lebih 16,600 peluang pekerjaan serta menyokong hampir 650 syarikat di seluruh negara.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, pencapaian 20 tahun agensi itu mencerminkan keyakinan berterusan kerajaan terhadap peranannya dalam membangunkan bioekonomi negara ke tahap lebih berdaya saing.
“Pada 2025 sahaja, anggaran nilai pelaburan dan komersial di bawah seliaan Bioeconomy Corporation meningkat daripada RM1.55 bilion pada 2024 kepada lebih RM2.44 bilion, iaitu pertumbuhan hampir 60 peratus.
“Dengan sokongan MOSTI, Bioeconomy Corporation terus memacu kemajuan di bawah DBN 2.0 dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebuah negara bioinovasi berteknologi tinggi menjelang 2030,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata strategi lima tahun akan datang memberi tumpuan kepada enam subsektor bernilai tinggi iaitu protein generasi baharu, pembiakan regeneratif, bahan lestari, bahan kimia berasaskan bio, perubatan regeneratif dan diagnostik ketepatan, yang turut menyokong Rancangan Malaysia Ke-13 (2026–2030).
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation, Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak berkata pencapaian agensi itu dipacu oleh sokongan MOSTI dan kerjasama rapat dengan kementerian, agensi tempatan dan antarabangsa, pemain industri serta institusi akademik.
“Pada 2026, kami menyasarkan untuk menjana sekurang-kurangnya RM2.2 bilion hasil daripada syarikat Status BioNexus dan BBA.
"Selaras dengan keutamaan Kerajaan MADANI, kami turut meneroka penerapan penyelesaian digital dan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan skala dan mempercepatkan pertumbuhan syarikat,” katanya.
Beliau berkata penumpuan AI dalam sektor pertanian, penjagaan kesihatan dan bioekonomi industri akan memperkukuh keselamatan makanan, memacu inovasi kesihatan, menyokong ekonomi kitaran serta membuka peluang ekonomi baharu.
Sejak 2005, Bioeconomy Corporation telah membantu mengembangkan syarikat tempatan ke peringkat global melalui promosi pelaburan, pembangunan PKS, program bakat, akses pasaran dan sokongan pembiayaan, selaras dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


