Thailand merekodkan kes pertama jangkitan koronavirus dari manusia ke manusia sekali gus menjadikan jumlah penularan virus itu kepada 19 kes.

Jelas Timbalan Ketua Jabatan Pengawalan Penyakit, Tanarak Pipat pada Jumaat, jangkitan itu berlaku ke atas seorang pemandu teksi yang dipercayai membawa seorang pelancong warga China.

“Dia (pemandu teksi) tidak mempunyai rekod ke negara China dan oleh itu, dia dipercayai dijangkiti menerusi seorang pelancong China yang sakit,” kata Tanarak.

Pihak berkuasa turut memaklumkan bahawa tiada anggota keluarga pemandu teksi itu yang dijangkiti koronavirus selepas ujian saringan dijalankan ke atas mereka.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Kecemasan peringkat antarabangsa

BACA: Enam pesakit koronavirus dibenarkan keluar hospital di Thailand

BACA: Koronavirus: Jangkitan manusia ke manusia meningkat kepada 9 kes

Bagaimanapun, pihaknya mengingatkan agar orang ramai berhati-hati dan melindungi diri sendiri.

“Risiko jangkitan di Thailand masih rendah, tetapi semua orang perlu mengambil langkah berjaga-jaga untuk melindungi diri sendiri” kata Tanarak.

Sebelum ini, kesemua kes yang dilaporkan berlaku di Thailand adalah daripada pelancong China dan warga Thai yang mempunyai rekod perjalanan ke China.

Dalam perkembangan lain, tujuh pesakit daripada 19 kes yang dilaporkan di Thailand dilaporkan sembuh dan dibenarkan pulang, sementara 12 lagi masih menerima rawatan di beberapa hospital.