BANGKOK: Kes COVID-19 Thailand mencecah rekod tertinggi pada Ahad ketika pihak berkuasa sedang bersiap menyediakan ribuan katil tambahan di hospital lapangan di seluruh negara untuk pesakit asimptomatik atau tanpa gejala.

Dalam tempoh 24 jam, Thailand melaporkan 1,767 kes baharu COVID-19, lonjakan harian terbesar sejak penularan pandemik itu pada Januari tahun lalu, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di negara itu kepada 42,352.

Dua kematian dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini 101 orang.

Ia adalah hari keempat berturut-turut Thailand mencatatkan lebih 1,500 kes dalam jumlah harian.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Thaweesilp Wussanuyothin berkata daripada 1,767 kes baharu itu, sebanyak 1,765 adalah penularan tempatan termasuk 1,477 mendapatkan rawatan di hospital dan 288 dikenal pasti melalui pengesanan kes aktif sementara dua lagi adalah kes import.

Beliau berkata Bangkok mendahului senarai dengan jumlah kes tertinggi sebanyak 347, diikuti Chonburi (229), Chiang Mai (164), Nonthaburi (100) dan Prachuap Khiri Khan (66).

"Sebanyak 13,489 kes COVID-19 dilaporkan dalam gelombang ketiga pandemik itu yang dikaitkan dengan tempat yang menjadi tumpuan pada sebelah malam di Bangkok sejak awal April lalu.

Tujuh kematian dilaporkan dalam gelombang terbaru wabak COVID-19 ini," katanya pada taklimat harian COVID-19 di sini pada Ahad.

"Kerajaan sedar mengenai kebimbangan orang ramai tentang kekurangan katil hospital berikutan lonjakan kes COVID-19.

"Justeru, kerajaan telah mengarahkan pihak berkuasa menyediakan 25,000 katil tambahan di seluruh negara selain kapasiti dalam keadaan normal.

"Pihak berkuasa juga sedang membangunkan hospital dan hospital lapangan untuk meningkatkan katil bagi pesakit," katanya.

Setiausaha Agung Pejabat Keselamatan Kesihatan Negara (NHSO) Jadet Thammathat-Aree berkata semalam, 700 pesakit COVID-19 sedang menunggu untuk dimasukkan ke hospital, seperti yang dilaporkan Bangkok Post.

Pada masa ini, Thailand mewajibkan semua pesakit dimasukkan dan dirawat di hospital untuk mengurangkan penularan.

Bagaimanapun, media tempatan melaporkan Kementerian Kesihatan Awam sedang mempertimbangkan untuk membenarkan pesakit COVID-19 yang tinggal bersendirian menjalani rawatan di kediaman masing-masing.

Untuk menghentikan penyebaran jangkitan virus itu di negara berkenaan, Thailand menutup institusi p pendidikan dan lokasi yang menjadi tumpuan pada malam hari serta melarang penjualan alkohol di restoran selama sekurang-kurangnya dua minggu bermula Ahad.

Selain itu aktiviti yang melibatkan lebih 50 orang adalah dilarang.

-- BERNAMA