BANGKOK: Thailand akan mengecualikan keperluan visa bagi pengembara dari China dan Kazakhstan untuk tempoh lima bulan mulai 25 September hingga akhir Februari, dalam usaha meningkatkan kedatangan pelancong.

Pengecualian sementara itu dijangka menarik 5 juta pelawat tambahan.

Langkah itu diluluskan dalam mesyuarat kabinet pada Rabu.

Perdana Menteri Srettha Thavisin berkata pelancong Kazakhstan dimasukkan kerana musim sejuk agak teruk di negara itu yang boleh membantu menarik lebih ramai pengunjung.

"Ia adalah pengecualian sementara. Kerajaan akan menilai kesannya," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat kabinet.

Beliau menambah, agensi berkaitan termasuk keselamatan sedang bersiap sedia untuk menerima kemasukan pelancong.

Sementara itu, kabinet juga meluluskan beberapa langkah termasuk pemotongan cukai diesel, penggantungan pembayaran hutang petani dan menurunkan tarif elektrik.

Srettha berkata tarif elektrik akan dikurangkan daripada 4.45 baht seunit kepada 4.10 baht mulai September.

Beliau berkata kabinet juga akan mengekalkan harga bahan api diesel standard di bawah 30 baht seliter bermula 20 Sept sehingga akhir tahun ini.

Selain itu, Srettha berkata kabinet juga meluluskan langkah yang membolehkan petani menangguhkan bayaran hutang selama tiga tahun.

"Ini akan memberi manfaat kepada petani dan perniagaan kecil," katanya.

Beliau berkata mesyuarat hari ini juga memutuskan pegawai kerajaan dibayar dua minggu sekali bermula Januari tahun depan.

Ini adalah perubahan daripada jadual pembayaran semasa, iaitu setiap bulan.

-- BERNAMA