Skip to main content

Malaysia

Pendidikan bentuk diplomasi paling berkekalan - Zambry

KUALA LUMPUR, 27 April — Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir ketika bercakap pada taklimat media Menteri Pendidikan Tinggi bagi Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Bersama (JC) antara Malaysia dan Turkiye serta Kongres Pendidikan Bumiputera di Menara Dato Onn di sini hari ini.
Pendidikan adalah diplomasi yang paling berkekalan dan bermakna, mampu membina hubungan antara negara selain menghubungkan hati dan minda, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pendidikan adalah diplomasi yang paling berkekalan dan bermakna, mampu membina hubungan antara negara selain menghubungkan hati dan minda, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata diplomasi intelektual sedemikian jelas dizahirkan menerusi kerjasama Malaysia-Turkiye yang semakin berkembang, berteraskan nilai bersama dan warisan ketamadunan yang mendalam.

Advertisement

“Pendidikan bukan sahaja membina jambatan antara negara, malah menghubungkan hati, minda dan generasi,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada Sidang Kemuncak Kepimpinan Malaysia-Turkiye 2026 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini hari ini.

Zambry berkata dalam era yang dicorakkan oleh gangguan teknologi dan perubahan geopolitik, pemerkasaan belia dan modal insan bukan lagi satu pilihan strategik, sebaliknya satu keperluan nasional yang sangat penting.

Beliau berkata pemimpin masa depan perlu berteraskan nilai, tangkas dari segi intelektual, berperikemanusiaan, kolaboratif dan berani.

“Kepimpinan bukan tentang mengarah orang lain, sebaliknya memperkasakan mereka. Ia bukan tentang diikuti tetapi membina individu lain yang mampu memimpin,” katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Pendidikan Tinggi Turkiye Profesor Dr Erol Ozvar berkata landskap pendidikan global sedang berkembang pesat dengan institusi pengajian tinggi kini berperanan sebagai pemacu strategik kepada transformasi sosial dan ekonomi.

“Institusi pengajian tinggi bukan lagi sekadar tempat menghasilkan dan menyampaikan ilmu. Ia juga menjadi pemain strategik yang memandu transformasi sosial, menyumbang kepada pembangunan ekonomi, menyokong inovasi dan menawarkan penyelesaian kepada cabaran global bersama,” katanya.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan konflik global dan tekanan politik boleh meminggirkan golongan sarjana daripada negara kurang membangun.

“Pelajar dan sarjana daripada negara yang kurang membangun mungkin berdepan halangan lebih besar untuk mengakses pendidikan tinggi global. Sekatan sedemikian akan melemahkan misi inklusif universiti dan meningkatkan jurang ketidaksamaan global sedia ada,” katanya.

Sidang kemuncak yang menarik lebih 500 peserta itu turut menampilkan sesi khas bersama ikon global Mesut Ozil dan forum melibatkan Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Mohd Shahar Abdullah dan Pengerusi Eksekutif Polity Nurul Izzah Anwar.

Inisiatif strategik itu adalah usaha kerjasama antara Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan, Kementerian Belia dan Sukan serta Sycamore Foundation.

​-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video