ISTANBUL: Menteri Luar Iran tiba di Rusia pada Isnin untuk membincangkan isu serantau dan global yang sedang berlangsung selepas singgah di ibu negara Pakistan, Islamabad, bagi mengadakan rundingan berhubung usaha menamatkan konflik semasa dengan Amerika Syarikat (AS), lapor Anadolu Ajansi yang memetik laporan media milik Kerajaan Iran.
Lawatan ke Rusia itu memberi peluang untuk membincangkan perkembangan terkini bersama pegawai Rusia, kata Abbas Araghchi dalam satu kenyataan setibanya beliau di Bandar St Petersburg, menurut penyiar negara IRIB News.
Advertisement
Diplomat tertinggi itu dijadual bertemu pegawai kanan Rusia, termasuk Presiden Vladimir Putin, di Moscow sebagai sebahagian daripada program lawatannya.
Mengenai lawatannya ke Pakistan, Araghchi berkata proses rundingan dengan AS diteliti semula semasa lawatan yang disifatkannya sebagai “berjaya”.
“Walau apa pun, 40 hari penentangan penuh keberanian oleh rakyat Iran seharusnya memastikan kita mampu mempertahankan hak rakyat Iran serta menjaga kepentingan negara,” katanya.
“Perubahan berlaku dalam proses rundingan dan pendekatan yang tidak tepat serta tuntutan melampau oleh AS menyebabkan pusingan rundingan sebelum ini, walaupun menunjukkan kemajuan, gagal mencapai matlamatnya.
“Oleh itu, adalah perlu untuk menilai semula keadaan semasa bersama rakan-rakan kami di Pakistan,” katanya lagi.
Mengenai lawatannya ke Oman, Araghchi berkata ia “perlu” bagi mengadakan perbincangan untuk “memperkembangkan hubungan yang lebih luas dengan negara jiran” demi “menguruskan masalah sedia ada”.
Tehran dan Oman perlu mengekalkan penyelarasan rapat bagi menjamin kepentingan bersama.
“Terdapat banyak persefahaman antara kami dan Oman dan dipersetujui supaya rundingan diteruskan di peringkat pakar.”
Sejak perang yang dimulakan oleh AS dan Israel terhadap Iran pada 28 Februari, Tehran mengekalkan kawalan ke atas Selat Hormuz, diikuti sekatan tentera laut Amerika pada 13 April, yang menjejaskan bekalan tenaga global, khususnya di Asia.
Washington dan Tehran mengadakan rundingan di Islamabad dua minggu lepas namun gagal mencapai persetujuan untuk menamatkan konflik. Bagaimanapun, usaha untuk satu lagi pusingan rundingan sedang dijalankan.
Rundingan diadakan selepas Pakistan menjadi perantara gencatan senjata selama dua minggu pada 8 April, yang kemudiannya dilanjutkan oleh Presiden AS Donald Trump.
-- BERNAMA-ANADOLU