BANGKOK: Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Thailand hari ini meluluskan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech untuk kegunaan kecemasan.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung FDA Dr Paisarn Dunkum berkata Pfizer-BioNTech adalah vaksin COVID-19 keenam yang diluluskan di negara ini.

Awal bulan ini, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kesihatan Awam Anutin Charnvirakul berkata Thailand telah menandatangani pesanan pembelian untuk 20 juta dos vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech yang dijadualkan dihantar tahun ini.

Sementara itu, Pengarah Pusat Operasi Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA), Jeneral Nattaphon Narkphanit berkata cadangan untuk mengenakan sekatan pergerakan di Bangkok selama seminggu berikutan lonjakan kes COVID-19 belum diputuskan ekoran kebimbangan ia akan menjejaskan ekonomi.

Nattaphon yang juga Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Negara (NSC) menyatakan pendekatan 'gelembung dan tutup' masih dilaksanakan di bandar raya itu yang menjadi pusat penularan terbaharu wabak.

"Kami akan membincangkan langkah-langkah lebih ketat yang akan dikenakan di bawah pendekatan 'gelembung dan tutup'," katanya seperti dipetik Thai PBS.

Semalam, Ketua Bahagian Penyakit Pernafasan dan Tuberkulosis Fakulti Perubatan di Siriraj Hospital Prof Madya Dr Nitipatana Chierakul berkata, penutupan Bangkok adalah langkah terbaik untuk mengatasi penularannya memandangkan katil di hospital di bandar raya itu sudah hampir penuh.

Sementara itu, Thailand mencatatkan 4,108 kes baharu COVID-19 dan 31 kematian menjadikan jangkitan di negara ini berjumlah 232,647 dan 1,775 kematian.

Daripada kes baharu, 4,095 adalah kes jangkitan tempatan dan 14 kes import.

Penolong jurucakap CCSA Dr Apisamai Srirangsan berkata Bangkok mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 1,359 dan 28 kematian.

"Terdapat 99 kluster dikesan di 42 kawasan di Bangkok," katanya pada taklimat harian COVID-19 di sini hari ini.

Dr Apisamai berkata, Pathum Thani mempunyai 39 kes baharu termasuk 33 kanak-kanak berusia antara 3 hingga 6 tahun, di Rumah Penjagaan Kanak-kanak di daerah Thanyaburi.

"Kes indeks adalah puncanya," katanya.

-- BERNAMA