DUNIA
Thailand rakam penghargaan kepada pemimpin serantau susulan perjanjian gencatan senjata dengan Kemboja

Phumtham menyatakan, perbincangan di Putrajaya pada Isnin mencerminkan tekad Thailand untuk mencari penyelesaian secara aman sambil mempertahankan kedaulatan negara dan keselamatan rakyatnya. - Gambar AP
BANGKOK: Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai pada Isnin merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kerajaan Malaysia, Kerajaan China serta Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump atas keprihatinan dan semangat muhibah mereka berhubung krisis sempadan yang sedang berlaku dengan Kemboja.
Jurucakap kerajaan, Jirayu Huangsap berkata, Phumtham menegaskan, mesyuarat khas itu mengesahkan komitmen bersama Malaysia, Kemboja dan Thailand untuk menegakkan undang-undang antarabangsa, hidup bersama secara aman dan kerjasama pelbagai hala dalam mencari penyelesaian yang adil dan berkekalan terhadap situasi itu.
Beliau berkata, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN ketika ini akan menyelaras penubuhan pasukan pemerhati bagi memantau dan mengesahkan pematuhan terhadap perjanjian gencatan senjata.
"Phumtham menyatakan bahawa perbincangan itu mencerminkan tekad Thailand untuk mencari penyelesaian secara aman sambil mempertahankan kedaulatan negara dan keselamatan rakyatnya."Kedua-dua pihak bersetuju melaksanakan gencatan senjata, di samping melaksanakan langkah-langkah membina keyakinan bagi memastikan pelaksanaannya secara ikhlas dan berkesan," kata Jirayu dalam kenyataan susulan Mesyuarat Khas Thailand-Kemboja yang diadakan di Putrajaya pada Isnin.
Jirayu turut memaklumkan, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk memulihkan saluran komunikasi langsung antara Perdana Menteri, Menteri Luar dan Menteri Pertahanan kedua-dua negara.
Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat bagi meredakan ketegangan yang semakin memuncak di sepanjang sempadan yang dipertikaikan, hasil mesyuarat khas yang dipengerusikan oleh Anwar pada Isnin.
Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Phumtham turut mengulangi komitmen mereka untuk meredakan ketegangan serta memulihkan keadaan kepada normal, dengan gencatan senjata berkuat kuasa mulai pukul 24:00 (waktu tempatan) pada 28 Julai 2025.
Kedua-dua negara jiran Asia Tenggara itu mempunyai sejarah panjang pertikaian diplomatik melibatkan 817 kilometer sempadan bersama yang belum dimuktamadkan.
Ketegangan antara Thailand dan Kemboja mula memuncak sejak 28 Mei susulan pertempuran antara tentera kedua-dua negara berhampiran kawasan Preah Vihear yang dipertikaikan, yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.
Pusingan terbaharu pertempuran tercetus pada 24 Julai, dengan beberapa kejadian pertempuran bersenjata dilaporkan di kawasan sempadan utara Kemboja, mengakibatkan korban jiwa di kedua-dua pihak.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami