Thailand sahkan tiada kes virus Nipah, tingkatkan saringan pengembara

Dr Sophon berkata Jabatan Kawalan Penyakit (DDC) telah memulakan saringan bersasar terhadap pengembara dari kawasan terjejas yang menaiki penerbangan terus sejak hujung minggu lepas. - Gambar fail/hiasan/BERNAMA
BANGKOK: Kementerian Kesihatan Awam Thailand mengesahkan bahawa tiada kes penyakit virus Nipah pernah direkodkan di negara itu, meskipun timbul kebimbangan susulan penularan wabak berkenaan di luar negara baru-baru ini.
Ringkasan AI
- Tiada kes penyakit virus Nipah direkodkan di Thailand, tetapi kebimbangan timbul susulan penularan wabak di luar negara baru-baru ini.
- Kementerian Kesihatan Awam Thailand memulakan saringan terhadap pengembara dari kawasan terjejas yang tiba melalui penerbangan terus.
- Penilaian terbaharu menunjukkan Thailand bersedia dan kawasan terjejas mampu membendung wabak virus Nipah tanpa tanda-tanda penularan berterusan dalam komuniti.
"Walaupun kawasan berkenaan terletak jauh dari segi geografi dengan Thailand, pemantauan rapi adalah perlu memandangkan terdapat penerbangan terus ke lapangan terbang Suvarnabhumi, Don Mueang dan Phuket," katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.
Dr Sophon berkata Jabatan Kawalan Penyakit (DDC) telah memulakan saringan bersasar terhadap pengembara dari kawasan terjejas yang menaiki penerbangan terus sejak hujung minggu lepas.
Beliau berkata setakat ini tiada jangkitan dikesan, namun pengembara yang menunjukkan gejala konsisten dengan kes disyaki - seperti demam atau simptom pernafasan serta mempunyai sejarah perjalanan ke kawasan wabak dalam tempoh 21 hari - akan segera menjalani siasatan epidemiologi dan ujian makmal.
"Penumpang yang tiba dari kawasan berisiko tinggi juga dikehendaki melengkapkan dokumentasi di bawah Akta Penyakit Berjangkit dan menghubungi talian penting Kawalan Penyakit di 1422 sekiranya mengalami gejala dalam tempoh 21 hari selepas ketibaan," katanya.
Bagaimanapun, Dr Sophon berkata Thailand bersedia sepenuhnya untuk bertindak balas dan terus memantau perkembangan di luar negara, dengan penilaian terbaharu menunjukkan kawasan terjejas mampu membendung wabak itu dan tiada tanda-tanda penularan berterusan dalam komuniti atau merentas sempadan.
"Tiada tanda amaran di Thailand, malah ujian retrospektif ke atas pesakit ensefalitis tidak menemui sebarang bukti jangkitan virus Nipah," katanya sambil menambah bahawa virus yang dikesan pada kelawar di Thailand adalah daripada strain Bangladesh.
Beliau menilai risiko wabak berada pada tahap amaran kuning (tahap rendah), sambil menyatakan bahawa langkah keselamatan pengembara yang dipertingkatkan telah dilaksanakan dan penilaian risiko lanjut akan dijalankan dalam tempoh seminggu lagi.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


