KERAJAAN Thailand bakal menandatangani kontrak untuk memastikan negara itu mendapat akses kepada bekalan vaksin bagi menentang COVID-19, Jumaat ini.

Kontrak di antara kerajaan Thailand dengan Institut Vaksin Negara dan syarikat farmaseutikal AstraZeneca menjadikan Thailand satu langkah ke hadapan dalam memperoleh vaksin sekali gus menghentikan penularan COVID-19 di negara itu.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri Prayut Chan-o-cha dalam satu video di laman Facebook rasmi kerajaan, pada Khamis.

“Kami sedang bersiap sedia memasuki fasa seterusnya dalam menangani krisis COVID-19. Ini bagi memastikan pandemik ini tidak terus menyakitkan ekonomi dan mencabar kesejahteraan kehidupan rakyat.

“Pelan jangka masa panjang untuk memenangi krisis ini adalah dengan menyediakan vaksin yang berkesan dan mengedarkannya secara saksama dan mencukupi kepada semua,” katanya dalam video itu.

Thailand telah menetapkan untuk membeli 26 juta dos vaksin buatan Universiti Oxford dan AstraZeneca, cukup untuk 13 juta rakyat negara Gajah Putih.

Bulan lalu, kerajaan pimpinan Prayut telah menandatangani perjanjian untuk menetapkan Thailand mendapat akses kepada vaksin AstraZeneca yang dihasilkan di United Kingdom.

“Esok (Jumaat), kami akan tanda tangan persetujuan susulan untuk membeli vaksin berkenaan,” ujarnya.

BACA: COVID-19: Ujian dapati vaksin AstraZeneca berkesan lindungi warga emas 

BACA: Vaksin Sputnik V boleh digabungkan dengan Astrazeneca - Rusia 

Vaksin AstraZeneca merupakan antara vaksin yang sedang berada dalam ujian klinikal fasa ketiga yang menunjukkan keberkesanan sekitar 70 hingga 90 peratus.

Sebagai antara vaksin di bawah inisiatif COVAX, vaksin AstraZeneca dijangka dipasarkan pada harga yang berpatutan, iaitu sekitar 4 hingga 5 dolar Amerika Syarikat untuk satu dos.