BANGKOK: Thailand akan membenarkan kelab malam dan bar karaoke kembali beroperasi mengikut waktu biasa bermula Jun, lapor Reuters yang memetik pengumuman seorang pegawai kanan pihak berkuasa pada Jumaat.

Dengan pengumuman itu, kebanyakan sekatan yang dikenakan berikutan pandemik COVID-19 kini dibenarkan, berdasarkan trend jangkitan harian yang terus menurun.

Aktiviti hiburan malam di Thailand merupakan tarikan utama untuk pelancong, namun kebanyakan tempat hiburan ditutup atau di bawah perintah yang ketat sejak pandemik bermula. Sesetengah bar juga telah diubah menjadi restoran hanya untuk kekal dalam perniagaan.

Kerajaan berharap dengan kelonggaran terbaru itu, boleh membantu menghidupkan semula sektor pelancongan Thailand yang selama ini lumpuh teruk.

Sebelum pandemik, sektor pelancongan menjadi jentera pertumbuhan Negara Gajah Putih itu dengan sumbangan sekurang-kurangnya 12 peratus kepada ekonomi. Thailand menyasarkan antara 5 hingga 15 juta ketibaan pelancong asing pada tahun ini.

"Pusat hiburan, pub, rumah urut dan beberapa lagi yang lain kini boleh beroperasi sehingga tengah malam selepas Jun.

"Kesemua perniagaan ini perlu mengadaptasi pendekatan pencegahan universal. Para pekerja perlu mengambil dos penggalak, selain ujian antigen setiap tujuh hari,” ujar jurucakap pasukan bertindak COVID-19, Taweesin Visanuyothin.

Bermula 1 Jun, Thailand juga akan menghapuskan syarat kuarantin bagi pengembara yang tidak divaksin. Mereka sama ada perlu mengambil ujian sewaktu ketibaan atau menunjukkan hasil keputusan negatif COVID sebelum berlepas.

Dari Januari hingga pertengahan Mei, Thailand menerima kemasukan sejumlah 1.01 orang pengembara, berbanding 427,000 orang sepanjang tahun lalu.