BANGKOK: Thailand telah menandatangani pembelian 20 juta dos vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech yang penghantarannya dijadual tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan Awam Anutin Charnvirakul berkata terma dan syarat pembelian termasuk tempoh masa, penghantaran dan harga akan dirundingkan serta dimuktamadkan dalam masa sebulan.

Sementara itu, syarikat farmasi Amerika Syarikat Pfizer Inc telah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan kebenaran penggunaan kecemasan vaksin COVID-19 mereka hari ini, kata Setiausaha Agung FDA Thailand, Dr Paisarn Dunkum.

Pada Isnin, Thailand telah memulakan program vaksinasi besar-besaran. Sebelum ini program vaksinasi yang dimulakan pada 28 Februari lalu menyasarkan petugas perubatan.

Setakat ini, lebih 5.66 juta penduduk sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.

Thailand sedang giat mendapatkan lebih banyak bekalan vaksin dalam usaha untuk membendung gelombang ketiga jangkitan.

Sejak 24 jam lalu, negara ini mencatatkan 2,290 kes baharu dan 27 kematian.

Secara keseluruhan, setakat ini Thailand sudah merekodkan 189,828 kes jangkitan dan korban seramai 1,402 orang.

-- BERNAMA