Thailand akan berbincang dengan jirannya dan pertubuhan antarabangsa tentang kemungkinan menubuhkan pusat bagi masyarakat Rohingya yang diselamatkan daripada kegiatan pemerdagangan manusia.

Perkara itu perlu dibincang dengan negara jiran terlibat dan pertubuhan antarabangsa, kata Perdana Menteri Prayuth Chan-ocha.

"Ia adalah mengenai keselamatan, tetapi, pada waktu yang sama, kami juga perlu melihat kepada isu kemanusiaan.

"Oleh itu, kami perlu berbincang dengan negara jiran dan pertubuhan antarabangsa tentang cara untuk menyelesaikan masalah ini," katanya ketika menjawab soalan pemberita tentang sama ada Thailand akan menubuhkan sebuah pusat bagi anggota masyarakat Rohingya yang diselamatkan di selatan Thailand.

Prayuth berkata beliau menganggap pemerdagangan manusia melibatkan masyarakat Rohingya sebagai jenayah merentas sempadan dan oleh itu, pertubuhan antarabangsa perlu dilibatkan.

Para pegawai Kementerian Luar Thailand sedang berbincang untuk menyelesaikan isu itu di peringkat ASEAN, walaupun Thailand sendiri perlu menangani masalah mengenainya di peringkat dalam negeri, kata beliau.

Menurut beliau, agensi antarabangsa telah menghubungi Thailand mengenai usaha menyelesaikan masalah pemerdagangan manusia dengan secepat mungkin berdasarkan undang-undang antarabangsa.

Kol Sansern Kaewkamnerd, timbalan jurucakap kerajaan, berkata Kementerian Luar ditugaskan mengkaji sama ada masalah Rohingya boleh dibincang secara dua hala atau pelbagai hala dalam ASEAN kerana isu ini belum pernah dikemukakan untuk perbincangan.