BANGKOK: Thailand mempertingkat langkah kawalan banjir dan pengangkutan di Bangkok menjelang Mesyuarat Tahunan 2026 Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Kumpulan Bank Dunia yang dijangka menghimpunkan kira-kira 15,000 peserta dari 191 negara minggu depan.
Jurucakap kerajaan Ekkapob Pianpises berkata Perdana Menteri Anutin Charnvirakul mengarahkan agensi berkaitan memastikan banjir dan gangguan pengangkutan tidak menjejaskan mesyuarat yang berlangsung dari 12 hingga 18 Okt di Pusat Konvensyen Nasional Queen Sirikit (QSNCC).
“Perdana Menteri turut mengarahkan langkah diambil bagi memulihkan perkhidmatan pengangkutan seperti biasa secepat mungkin serta mengekalkan keyakinan terhadap kesiapsiagaan Thailand menerima pelawat antarabangsa dan pelaburan asing,” kata Ekkapob dalam satu kenyataan.
Beliau berkata perdana menteri mengeluarkan arahan itu semasa mesyuarat Komando Pencegahan dan Mitigasi Bencana Kebangsaan pada Isnin bagi meneliti situasi banjir serta usaha bantuan yang sedang dilaksanakan.
Mesyuarat tahunan itu dijangka menghimpunkan kira-kira 15,000 peserta dari 191 negara, termasuk menteri kewangan, gabenor bank pusat, eksekutif institusi kewangan, ahli akademik, wakil masyarakat sivil dan media.
Ekkapob berkata Anutin secara khusus mengarahkan pihak berkuasa Lapangan Terbang Thailand (AOT) dan Kementerian Pengangkutan memastikan urusan ketibaan dan pelepasan penumpang serta pengangkutan kargo berjalan lancar sepanjang mesyuarat itu.
Persiapan berkenaan dibuat selepas banjir melanda Bangkok dan puluhan wilayah lain sehingga menjejaskan perkhidmatan pengangkutan serta operasi lapangan terbang.
-- BERNAMA