DUNIA
Thaksin dakwa Hun Sen ceroboh sempadan, tentera Thai diarah sedia tindak balas

Thaksin (kiri) mendakwa Hun Sen (kanan) memulakan serangan di sempadan Thailand-Kemboja dengan meletakkan periuk api dan melancarkan serangan artileri ke kawasan Thai. - Gambar fail
BANGKOK: Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra hari ini mendakwa bekas pemimpin Kemboja, Hun Sen telah memulakan serangan di sempadan Thailand-Kemboja dengan meletakkan periuk api dan melancarkan serangan artileri ke kawasan Thai.
Menerusi hantaran di platform media sosial X, Thaksin menyifatkan tindakan itu sebagai pencabulan undang-undang antarabangsa dan semangat kejiranan yang baik.
Menurutnya, dua anggota tentera Thailand mengalami kecederaan parah sehingga terpaksa dipotong kaki, manakala beberapa orang awam turut cedera dalam insiden tersebut.
“Thailand telah menunjukkan kesabaran dan mematuhi sepenuhnya undang-undang antarabangsa. Tetapi mulai sekarang, tentera Thai dibenarkan membalas serangan mengikut pelan operasi, dan Kementerian Luar boleh melaksanakan pelbagai langkah secara sah,” kata Thaksin.Beliau turut mendedahkan bahawa beberapa negara telah menawarkan diri untuk menjadi orang tengah dalam menyelesaikan konflik tersebut, namun beliau meminta sedikit masa.
“Kita perlu beri ruang kepada tentera Thai untuk menjalankan tugas dan mengajar Hun Sen satu pengajaran atas kelicikannya,” tulis Thaksin sambil merujuk bekas pemimpin Kemboja itu sebagai "sama seperti Phraya Lawek", satu sindiran bersejarah terhadap watak musuh Siam lama.
Walaupun tidak lagi memegang jawatan rasmi, Thaksin dilihat sebagai tokoh berpengaruh di sebalik parti pemerintah Thailand, Pheu Thai.
Setakat ini, kerajaan Thailand belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan Thaksin mahupun perkembangan terkini di sempadan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami