DUNIA
Tiada kematian dalam nahas jalan raya libatkan 12 rakyat Malaysia di Kodaikanal, Tamil Nadu

Wisma Putra memaklumkan Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan, mangsa yang terlibat serta wakil hospital bagi menyalurkan bantuan konsul sewajarnya. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Tiada kematian dilaporkan dalam kemalangan jalan raya membabitkan 12 rakyat Malaysia di Kodaikanal, Tamil Nadu, India pada lewat malam 14 Sept, menurut Kementerian Luar pada Selasa.
"Beberapa individu cedera ringan, manakala empat lagi cedera parah tetapi tidak mengancam nyawa. Kesemua mereka kini menerima rawatan di hospital tempatan," kata kementerian yang juga dikenali sebagai Wisma Putra dalam satu kenyataan.
Wisma Putra memaklumkan Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan, mangsa yang terlibat serta wakil hospital bagi menyalurkan bantuan konsul sewajarnya.
Konsulat Jeneral juga telah membantu menghubungkan rakyat Malaysia berkenaan dengan ahli keluarga mereka di tanah air.Menurut kementerian itu, kejadian berlaku apabila van pelancong yang membawa 12 rakyat Malaysia tergelincir semasa melalui jalan berbukit.
"Konsulat Jeneral telah mengambil tindakan segera dengan menghubungi pihak berkuasa tempatan bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai kemalangan serta berhubung dengan mangsa rakyat Malaysia.
Semua penumpang dari Malaysia berjaya diselamatkan dan menerima rawatan perubatan segera," menurut kenyataan itu.
Kementerian itu turut menasihatkan rakyat Malaysia yang melancong di India supaya lebih berhati-hati sepanjang musim monsun, khususnya di kawasan berbukit yang terdedah kepada jalan licin dan tanah runtuh.
"Pengembara amat digalakkan untuk mendaftar dengan perwakilan Malaysia terdekat bagi memudahkan bantuan semasa kecemasan, selain mendapatkan perlindungan insurans perjalanan," katanya.
Untuk bantuan konsul atau pertanyaan, rakyat Malaysia boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai, India di talian +91 44 2433 4434 / +91 44 2433 4435 atau e-mel: [email protected]
Kementerian itu berkata pihaknya akan terus memantau perkembangan rapat dan mengeluarkan makluman dari semasa ke semasa.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami