JAKARTA: Tiada laporan diterima mengenai kes trombosis dengan sindrom "thrombocytopenia" yang dikaitkan dengan vaksin COVID-19 AstraZeneca di Indonesia, menurut suruhanjaya negara yang mengkaji kesan sampingan vaksin itu.

Suruhanjaya Nasional untuk Kajian dan Pencegahan Peristiwa Mudarat Berikutan Imunisasi bersama-sama Kementerian Kesihatan dan Agensi Makanan dan Ubat-Ubatan (BPOM) telah melakukan pemantauan aktif dan pasif untuk mendapatkan rumusan ini.

Pengerusinya Prof. Hinky Hindra Irawan Satari berkata: "Vaksin menjalani penilaian ketat menerusi pelbagai peringkat percubaan klinikal melibatkan jutaan peserta sebelum diluluskan. Pemantauan diteruskan sehingga selepas pengedaran.

Beliau mengeluarkan kenyataan itu berikutan satu laporan media di United Kingdom yang melaporkan AstraZeneca memaklumkan vaksin Covid-19 keluarannya mungkin menyebab kesan sampingan yang jarag ditemui dikenali sebagai TTS (trombosis dengan sindrom thrombocytopenia)

Indonesia berada di kedudukan keempat di peringkat global dalam usaha vaksinasi dengan 453 juta dos vaksin disuntik kepada penerima termasuk 70 juta dos AstraZeneca.

Hinky berkata pemantauan aktif untuk potensi simptom berkaitan vaksin, termasuk TTS dijalankan merentasi 14 hospital di tujuh wilayah selama setahun sejajar dengan garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Kami memerhatikan dari Mac 2021 hingga Julai 2022, melanjutkan pemantauan bagi memastikan saiz sampel mencukupi. Biarpun dilanjutkan, tiada kes TTS dikaitkan dengan vaksin AstraZeneca ditemukan," katanya.

Berikutan rumusan daripada pemantauan aktif itu, beliau berkata suruhanjaya itu meneruskan pemantauan pasif dan tiada laporan kes TSS diterima.

TSS adalah keadaan yang jarang berlaku dengan cirinya terdapat darah beku dan kiraan platelet yang rendah serta berpotensi mengakibatkan gejala yang teruk.

"Peristiwa mudarat berikutan pelalian lazimnya berlalu dalam empat hingga 42 hari selepas divaksin. Malah jika kes TSS dikesan di Indonesia, ia mungkin tiada kaitan dengan vaksin COVID-19 disebabkan pengaturan waktu," katanya.

-- BERNAMA