HAMILTON, KANADA: Ketua OpenAI dan Anthropic pada Rabu menggesa kerjasama antarabangsa dalam mengurus risiko kecerdasan buatan (AI), sambil menegaskan bahawa tiada satu negara, syarikat atau individu seharusnya menguasai teknologi itu, lapor Anadolu Ajansi.
Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) OpenAI, Sam Altman berkata, AI boleh membawa era baharu kreativiti dan penemuan, namun, pada masa sama berpotensi mengakibatkan perubahan besar dan ketidaktentuan.
Beliau berkata, teknologi itu perlu dibangunkan untuk kepentingan manusia, bukan semata-mata bagi meningkatkan keupayaan mesin.
Altman turut menegaskan bahawa tiada individu, syarikat atau negara seharusnya menggunakan model AI paling berkuasa untuk memaksakan pandangan mereka kepada pihak lain.
Keputusan berkaitan AI tidak boleh dibuat oleh syarikat atau makmal teknologi semata-mata, sebaliknya perlu dibentuk melalui proses demokrasi dan kerajaan yang bertanggungjawab kepada rakyat.
Sementara itu, KPE Anthropic, Dario Amodei mengenal pasti dua risiko utama AI iaitu penyalahgunaan teknologi itu, termasuk untuk menghasilkan senjata biologi, serta kemungkinan keupayaan model AI berkembang lebih pantas daripada kemampuan pembangun untuk mengawalnya.
Beliau memberi amaran bahawa AI boleh menjadi ancaman kepada manusia sekiranya tidak diurus dengan baik.
Amodei berkata, Anthropic bersedia memperlahankan pembangunan sistem AI jika perlu bagi memastikan setiap teknologi baharu yang dikeluarkan selamat.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pengurusan risiko AI tidak boleh dipikul oleh satu syarikat sahaja kerana ia melibatkan seluruh industri dan masyarakat antarabangsa.
Beliau turut menggesa supaya diwujudkan piawaian global bersama bagi menguji risiko kehilangan kawalan terhadap model AI serta kemungkinan penyalahgunaannya.
Pengerusi Bersama Panel Bebas Antarabangsa PBB mengenai AI, Yoshua Bengio pula berkata, kerajaan dan masyarakat tidak seharusnya menganggap persaingan membangunkan AI sebagai sesuatu yang tidak dapat dielakkan.
Menurutnya, persaingan itu berlaku akibat pilihan yang dibuat oleh syarikat sendiri dan boleh menimbulkan risiko kepada semua negara.
-- BERNAMA-ANADOLU