AS tidak akan kerah tentera ke Gaza atau Israel - Naib Presiden Vance

Vance (gambar) percaya bahawa perjanjian gencatan senjata telah menamatkan perang di Gaza, namun menegaskan bahawa "banyak lagi yang perlu dilakukan" bagi memastikan ia berkekalan. - Gambar fail/REUTERS
ISTANBUL: Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) JD Vance berkata bahawa walaupun Washington memainkan peranan penting dalam mengusahakan perjanjian gencatan senjata Gaza yang baharu, negara itu tidak berhasrat untuk mengerahkan anggota tenteranya ke Gaza atau Israel, lapor Anadolu Ajansi.
"Kami tidak merancang untuk menempatkan tentera di lapangan," kata Vance dalam temu bual dengan NBC yang disiarkan pada Ahad, sambil menambah bahawa ini terpakai kepada Gaza dan Israel.
"Kami sudah mempunyai Markas Pemerintah Pusat AS," katanya merujuk kepada CENTCOM, yang meliputi rantau Timur Tengah. "Mereka akan memantau pelaksanaan syarat gencatan senjata dan memastikan bantuan kemanusiaan disalurkan."
Vance berkata banyak negara majoriti Islam telah menawarkan untuk menghantar tentera ke wilayah itu bagi membantu menjamin keselamatan Gaza, sambil menambah bahawa kehadiran tentera Amerika tidak diperlukan.Menurut Vance, beliau percaya bahawa perjanjian gencatan senjata itu telah menamatkan perang di Gaza, namun menegaskan bahawa "banyak lagi yang perlu dilakukan" bagi memastikan ia berkekalan.
Beliau turut menambah bahawa menjelang tarikh akhir pada Isnin, baki tawanan Israel di Gaza boleh dibebaskan "pada bila-bila masa dari sekarang."
Vance juga memberitahu ABC bahawa 20 tawanan yang masih hidup dijangka dibebaskan dalam tempoh 24 jam akan datang.
Sidang kemuncak di Sharm el-Sheikh, Mesir yang dipengerusikan bersama oleh Trump dan Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi serta dihadiri oleh wakil dari lebih 20 negara, bertujuan "menamatkan perang di Semenanjung Gaza, meningkatkan usaha membawa keamanan dan kestabilan ke Timur Tengah, serta memulakan fasa baharu keselamatan dan kestabilan serantau," menurut kenyataan Pejabat Presiden Mesir.
Bulan lalu, Trump mengumumkan pelan gencatan senjata 20 perkara untuk Gaza yang merangkumi pembebasan semua tawanan Israel sebagai pertukaran bagi kira-kira 2,000 tahanan Palestin, gencatan senjata kekal serta pengunduran berperingkat tentera Israel dari seluruh Semenanjung Gaza.
Fasa kedua pelan itu menyeru kepada pembentukan mekanisme tadbir urus baharu di Gaza tanpa penyertaan Hamas, penubuhan pasukan keselamatan yang terdiri daripada rakyat Palestin serta tentera dari negara-negara Arab dan Islam, selain pelucutan senjata Hamas. Ia turut menetapkan pembiayaan Arab dan Islam untuk pentadbiran baharu dan pembinaan semula wilayah itu, dengan penglibatan terhad oleh Pihak Berkuasa Palestin.
Pembentukan pasukan keselamatan itu dijangka dibincangkan semasa sidang kemuncak di Mesir, memandangkan negara-negara Arab mahu Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menetapkan mandatnya, di sebalik penentangan Israel yang mendakwa langkah itu akan mengehadkan kebebasan tindakan ketenteraannya.
Negara-negara Arab dan Islam sebahagian besarnya menyambut baik pelan itu, walaupun beberapa pegawai berkata banyak butiran masih memerlukan perbincangan dan rundingan sebelum ia dapat dilaksanakan sepenuhnya.
Sejak Oktober 2023, serangan Israel telah mengorbankan lebih 67,600 rakyat Palestin di wilayah berkenaan, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, sekali gus menjadikan Gaza hampir tidak dapat didiami.
-- BERNAMA
Dapatkan berita terkini di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami