KUALA LUMPUR: Budaya dan agama tidak wajar menjadi penghalang dan dimanipulasikan untuk mengurangkan hak-hak asasi manusia terutama wanita, kata Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Noraini Ahmad.

Jelasnya, penglibatan dan sumbangan wanita sangat penting bagi pembangunan sesebuah negara dalam mencapai kemajuan dan kemakmuran.

"Mengehadkan akses mereka kepada peluang pekerjaan, pendidikan dan penglibatan awam adalah bertentangan dengan tanggungjawab Afghanistan di bawah undang-undang hak asasi manusia dan kemanusiaan antarabangsa.

"Dalam merealisasikan agenda 2030, wanita dan perempuan Afghanistan mesti diberikan peluang yang sama," katanya ketika berucap di program Solidariti Global dengan Wanita Afghanistan sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 di New York.

Dalam pada itu, Noraini turut menyeru komuniti antarabangsa untuk terus melibatkan Afghanistan menerusi usaha secara kolektif bagi mengelakkan keruntuhan sosio ekonomi negara tersebut daripada terus jatuh.

Jelasnya, pendekatan tersebut perlu dilakukan bersama-sama secara membina dan terbuka, seiring dengan prinsip hak asasi manusia.

"Dalam konteks ini, kami mengalu-alukan rangka kerja strategik baru Afghanistan untuk tempoh 2023-2025, yang dilancarkan oleh UNAMA (The United Nations Assistance Mission in Afghanistan).

"Kami berharap keutamaan dalam rangka kerja ini akan menyumbang kepada pemulihan dan pembinaan semula Afghanistan," katanya.