RAFAH: Tiga beradik Palestin yang ditahan tentera Israel di Gaza mengaku mereka dan tahanan lain telah dipukul, diarah menanggalkan pakaian, dicucuh dengan rokok, dan diseksa semasa ditahan.

Sobhi Yaseen bersama abangnya Sady dan Ibrahim adalah antara puluhan lelaki Palestin yang mencari perlindungan di sebuah sekolah di Rafah.

"Mereka paksa saya masuk ke dalam trak menggunakan tangga ... saya beritahu mereka yang saya tidak dapat menaiki tangga kerana kaki saya cedera.

"Mereka pukul saya di bahagian muka dan tolak saya terjatuh sehingga gari saya patah. Kemudian, empat orang menyerang saya.

"Selepas itu, mereka bawa dan humban kami di jalanan selama tiga hari. Mereka telanjangkan kami, cucuh rokok di belakang kami, sembur pasir dan air pada kami, dan buang air ke atas kami.

"Setiap tiga jam, mereka lempar kami ke satu kawasan, di tempat sampah, dan kami tidak tahu di mana sebenarnya kami berada kerana mata kami ditutup," katanya menceritakan seksaan yang dialami ketika ditahan tentera Israel.

Pejabat jurucakap Pasukan Pertahanan Israel berkata dalam respons memberitahu tentera Israel sedang menghancurkan keupayaan ketenteraan Hamas dan menyelamatkan tahanan yang ditawan kumpulan Hamas.

Menurut pejabat tersebut, tahanan diperlakukan mengikut undang-undang antarabangsa dan seringkali diminta melucutkan pakaian untuk memastikan mereka tidak membawa senjata atau bahan letupan.

Adik beradik ini memaklumkan mereka ditangkap di rumah mereka di bahagian utara kawasan tersebut, dipisahkan daripada keluarga, dan ditahan selama dua minggu di lokasi yang tidak diketahui termasuk di kem askar.