INTERNATIONAL
Tiga disahkan maut selepas helikopter terhempas di barat daya Jepun

Helikopter itu mengalami masalah dan terbalik di laut, menyebabkan tiga individu terselamat dan tiga lagi meninggal dunia. -X @OnDisasters
FUKUOKA: Dua lagi individu disahkan maut selepas sebuah helikopter pengangkutan perubatan terhempas di perairan Wilayah Nagasaki pada Ahad, menjadikan jumlah kematian setakat ini kepada tiga orang, menurut pengawal pantai.
Ringkasan AI
- Tiga orang disahkan maut selepas helikopter pengangkutan perubatan terhempas di perairan Wilayah Nagasaki.
- Helikopter itu mengalami masalah dan terbalik di laut, menyebabkan tiga individu terselamat dan tiga lagi meninggal dunia.
- Helikopter tersebut pernah digantung operasi untuk pemeriksaan keselamatan selepas nahas sebelumnya di Wilayah Fukuoka.
Pihak berkuasa tempatan telah mengambil langkah untuk mengelakkan helikopter itu daripada tenggelam dan memantau keadaannya sambil berusaha mengenal pasti punca sebenar nahas berkenaan.
Helikopter itu berlepas dari lapangan terbang di Pulau Tsushima di wilayah tersebut kira-kira 1.30 tengah hari waktu tempatan pada Ahad.
Helikopter yang dikendalikan menerusi kontrak oleh sebuah syarikat penerbangan swasta itu dijadualkan tiba di sebuah hospital di Fukuoka, bandar terbesar di pulau barat daya Kyushu, kira-kira 2.15 petang.
Ia dipercayai mengalami masalah apabila penjejak helikopter itu berhenti bergerak kira-kira 1.43 tengah hari.
Pada kira-kira 5.05 petang, sebuah kapal peronda pengawal pantai menemukan helikopter yang hilang itu terapung dalam keadaan terbalik dan menyelamatkan tiga individu yang masih hidup dan sedar.
Tiga lagi penumpang turut ditemukan tetapi disahkan meninggal dunia kemudian.
Menurut hospital dan pihak berkuasa, helikopter pengangkutan perubatan itu sebelum ini pernah digantung operasi buat sementara waktu untuk menjalani pemeriksaan keselamatan selepas dua individu maut dalam nahas di Wilayah Fukuoka yang turut melibatkan syarikat penerbangan sama pada Julai tahun lepas.
Tiada sebarang kejanggalan dikesan ketika helikopter yang terlibat dalam nahas terbaharu itu diperiksa pada Jumaat.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami