DUNIA
Tiga jet pejuang Rusia didakwa ceroboh ruang udara Estonia

Estonia pmendakwa, tiga jet tentera Rusia menceroboh ruang udara negara anggota NATO itu pada Jumaat, selama 12 minit dalam insiden yang disifatkan sebagai “pencerobohan paling berani setakat ini.” - Gambar fail Reuters
WASHINGTON: Estonia pada Jumaat mendakwa, tiga jet tentera Rusia menceroboh ruang udara negara anggota NATO itu selama 12 minit dalam insiden yang disifatkan sebagai “pencerobohan paling berani setakat ini”, di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak di sempadan timur pakatan itu.
Insiden berkenaan berlaku hanya seminggu selepas lebih 20 dron Rusia memasuki ruang udara Poland pada malam 9 hingga 10 September, sekali gus memaksa jet NATO bertindak menembak jatuh sebahagiannya.
Pegawai Barat ketika itu menegaskan, tindakan Moscow bertujuan menguji tahap kesiapsiagaan dan ketegasan NATO.
Pelanggaran ruang udara ini juga berlaku tiga hari selepas Rusia dan Belarus menamatkan latihan ketenteraan bersama yang dinamakan Zapad 2025.Menurut kenyataan kerajaan Estonia, tiga jet pejuang MiG-31 terbabit memasuki ruang udara negara itu tanpa kebenaran dan berada di situ selama 12 minit.
“Rusia sudah empat kali melanggar ruang udara Estonia tahun ini, namun insiden kali ini sangat berani kerana membabitkan tiga jet pejuang sekaligus. Ia sesuatu yang tidak boleh diterima,” kata Menteri Luar Estonia, Margus Tsahkna.
Kementerian Pertahanan Rusia setakat ini belum memberikan sebarang maklum balas.
Jet tenteranya lazim dilihat beroperasi di Laut Baltik antara tanah besar Rusia dan wilayah eksklaf Kaliningrad yang menempatkan Armada Baltik negara itu.
Seorang jurucakap NATO dalam kenyataan di platform X mengesahkan: “Pagi tadi jet Rusia melanggar ruang udara Estonia. NATO bertindak pantas dengan memintas pesawat terbabit. Ini sekali lagi menunjukkan tindakan tidak bertanggungjawab Rusia, dan pada masa sama keupayaan NATO untuk bertindak balas.”
Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah, Kaja Kallas pula menegaskan: “Ini bukan satu kesilapan.”
Estonia juga memanggil diplomat tertinggi Rusia di Tallinn untuk menyampaikan bantahan rasmi serta menyerahkan nota protes.
Menurut sumber Eropah, Tallinn sedang mempertimbangkan untuk meminta NATO mengadakan rundingan di bawah Artikel 4 Perjanjian NATO, yang memperuntukkan perundingan antara anggota sekiranya kedaulatan atau keselamatan mana-mana negara ahli diancam.
Difahamkan, jet Rusia itu terbang sejauh kira-kira lima batu nautika (9 kilometer) ke dalam ruang udara NATO sebelum diusir keluar oleh pesawat F-35 Itali.
Pasukan Pertahanan Estonia menjelaskan pelanggaran itu berlaku pagi Jumaat di kawasan Pulau Vaindloo, kira-kira 100 kilometer dari ibu kota Tallinn.
Pesawat terbabit tidak mengemukakan pelan penerbangan, tidak menghidupkan transponder serta tidak berhubung dengan kawalan trafik udara.
Walaupun pencerobohan berhampiran Pulau Vaindloo pernah berlaku sebelum ini, kebiasaannya ia tidak mengambil masa selama insiden terbaharu ini.
Seorang pegawai Amerika Syarikat yang enggan dikenali memberitahu Reuters: “Sukar untuk melihat bagaimana perkara ini tidak disengajakan. Tidak mungkin sejumlah besar pesawat Rusia tidak menyedari mereka berada dalam ruang udara Estonia selama tempoh itu.”
Menurut pakar keselamatan Rusia, Jakub M Godzimirski dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Norway, insiden itu boleh dianggap ujian terhadap NATO.
“Ini berlaku dalam konteks tertentu, mengambil kira apa yang berlaku dengan pencerobohan dron di Poland beberapa hari lalu,” katanya.
Tallinn sebelum ini pada Mei lalu mendakwa, sebuah jet pejuang Rusia menceroboh ruang udara NATO di Laut Baltik ketika Moscow cuba menghalang sebuah kapal tangki minyak yang disyaki sebahagian daripada “armada bayangan” yang beroperasi bagi mengelak sekatan Barat terhadap Rusia. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami