Palis Sweden mengesahkan tiga orang maut apabila sebuah lori merempuh orang awam di kawasan siar kaki sebelum melanggar sebuah kedai di gedung beli-belah di Stockholm pada Jumaat, lapor Reuters.

Perdana Menteri Sweden Stefan Lofven berkata, semua petunjuk awal mengenai insiden berkenaan menjurus kepada serangan pengganas.

Sebahagian kawasan di tengah-tengah bandar raya Stockholm telah disekat dan orang ramai diarahkan mengosongkannya. Sejumlah anggota polis dan perkhidmatan kecemasan turut dilihat berada di lokasi kejadian.

Beberapa serangan yang menggunakan lori atau kenderaan lain yang merempuh orang awam sudah berlaku di Eropah sejak tahun lalu.

Kumpulan militan Al-Qaeda pada 2010 pernah menyeru pengikutnya agar menggunakan kaedah itu untuk melakukan serangan.

PAda 22 Mac lalu di LOndon, seorang lelaki merempuh kenderaan yang dipandunya ke kawasan pejalan kaki di Jambatan Westminster, lalu membunuh empat orang, termasuk menikam seorang anggota polis, sebelum dia mati ditembak.

Kumpulan Daish mengaku bertanggungjawab dalam serangan di Nice, Perancis pada Julai tahun lalu, apabila menggunakan lori untuk merempuh orang awam, hingga mengorbankan 86 nyawa sewaktu sambutan Hari Bastille.

Pada Disember pula, Berlin, Jerman menjadi sasaran serangan seumpamanya apabila sebuah lori merempuh sebuah pasar Natal hingga membunuh 12 orang.