Skip to main content

Dunia

Tiga maut disyaki akibat wabak virus di kapal persiaran Atlantik

Sumber: Horizons Nouveaux
Wabak tersebut dilaporkan berlaku di atas kapal persiaran MV Hondius, yang dalam pelayaran dari Argentina ke Cape Verde.

TIGA individu dilaporkan meninggal dunia susulan wabak virus yang disyaki hantavirus di sebuah kapal persiaran yang belayar di Lautan Atlantik, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kepada BBC.

WHO memaklumkan, satu kes jangkitan hantavirus telah disahkan, manakala lima lagi kes disyaki kini sedang disiasat. 

Advertisement

Seorang warga Britain berusia 69 tahun dilaporkan berada dalam rawatan rapi di Johannesburg, Afrika Selatan.

Pejabat Luar United Kingdom berkata, pihaknya sedang memantau rapat perkembangan laporan berkenaan dan bersedia memberikan bantuan kepada rakyat Britain yang terlibat.

Wabak tersebut dilaporkan berlaku di atas kapal persiaran MV Hondius, yang dalam pelayaran dari Argentina ke Cape Verde.

Jangkitan hantavirus lazimnya dikaitkan dengan pendedahan persekitaran, seperti sentuhan dengan air kencing atau najis tikus yang dijangkiti. 

Namun dalam kes yang jarang berlaku, virus itu juga boleh merebak antara individu dan menyebabkan jangkitan pernafasan yang serius.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Afrika Selatan, Foster Mohale, sebelum ini memaklumkan kepada BBC bahawa sekurang-kurangnya dua kematian telah direkodkan.

MV Hondius dikendalikan oleh syarikat pelancongan Oceanwide Expeditions.

Berdasarkan jadual perjalanan di laman web syarikat berkenaan, MV Hondius berlepas dari Ushuaia, Argentina pada 20 Mac dan dijadual menamatkan pelayarannya pada 4 Mei di Cape Verde. 

Kapal persiaran polar sepanjang 107.6 meter itu boleh menampung sehingga 170 penumpang di 80 kabin, selain 57 kru, 13 pemandu pelancong dan seorang doktor.

Pihak berkuasa Afrika Selatan memberitahu BBC bahawa individu pertama yang menunjukkan simptom jangkitan ialah seorang penumpang lelaki berusia 70 tahun yang meninggal dunia di atas kapal. 

Mayatnya kini berada di Pulau Saint Helena, sebuah wilayah British di Atlantik Selatan.

Isterinya yang berusia 69 tahun turut jatuh sakit ketika berada di atas kapal dan dipindahkan ke Afrika Selatan sebelum meninggal dunia di sebuah hospital di Johannesburg.

Agensi berita AFP, memetik sumber yang rapat dengan kes berkenaan, melaporkan pasangan suami isteri tersebut merupakan warganegara Belanda.

Menurut sumber yang enggan dikenali itu, kematian ketiga masih dilaporkan berlaku di atas kapal, manakala perbincangan sedang dijalankan untuk menentukan sama ada dua lagi penumpang yang jatuh sakit perlu diasingkan di hospital di Cape Verde.

Kapal tersebut kemudiannya dijangka meneruskan pelayaran ke Kepulauan Canary, Sepanyol.

WHO memaklumkan ia sedang membantu menyelaras kerjasama antara negara-negara anggota serta pengendali kapal bagi tujuan pemindahan perubatan dua penumpang bergejala, selain menjalankan penilaian risiko kesihatan awam secara menyeluruh dan memberikan sokongan kepada mereka yang masih berada di atas kapal. - Agensi

Must Watch Video