SYDNEY: Tiga individu disahkan maut, termasuk dua anggota penyelamat marin sukarela, selepas sebuah kapal layar tenggelam dan bot penyelamat terbalik dalam keadaan laut bergelora di pesisir pantai New South Wales (NSW), Australia.
Perkhidmatan kecemasan menerima panggilan sekitar jam 6.15 petang waktu tempatan pada Isnin selepas orang awam melaporkan sebuah kapal layar mengalami masalah berhampiran benteng pemecah ombak di South Ballina, kawasan pelancongan popular berhampiran sempadan NSW dan Queensland.
Advertisement
Sebuah bot Marine Rescue NSW dikerahkan ke lokasi kejadian, namun bot itu terbalik ketika merentasi Ballina Bar akibat keadaan laut yang kasar, menurut polis.
Dua penyelamat marin berusia 78 dan 62 tahun disahkan terkorban.
Empat individu lain berjaya sampai ke darat dengan kecederaan ringan.
Operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada Selasa pagi selepas semua mangsa berjaya dikenal pasti.
Mayat seorang lelaki ketiga, dipercayai berusia sekitar 50-an, ditemui di pantai berhampiran dan masih belum dikenal pasti secara rasmi.
Jurucakap Marine Rescue NSW menyifatkan kejadian itu sebagai satu tragedi besar dan berkata keutamaan kini adalah memberi sokongan kepada keluarga mangsa serta para sukarelawan terlibat.
Pesuruhjaya Marine Rescue NSW Todd Andrews dan Timbalan Pesuruhjaya Dan Duemmer dijangka tiba di Ballina pada Selasa.
Superintendan Joe McNulty dari Perintah Kawasan Marin Polis NSW berkata keadaan laut pada malam kejadian adalah “amat berbahaya” sambil memberi penghormatan kepada tindakan berani pasukan penyelamat.
Seorang penduduk tempatan berkata tragedi itu memberi kesan mendalam kepada komuniti Ballina yang rapat hubungannya, terutama apabila nyawa penyelamat yang sanggup mempertaruhkan keselamatan mereka demi membantu orang lain terkorban.
Polis memaklumkan kapal layar tersebut kini telah tenggelam sepenuhnya.