PEMAIN golf terkenal dunia, Tiger Woods, telah didakwa memandu di bawah pengaruh (DUI) 'bahan tertentu' susulan kemalangan jalan raya di Florida.
Pejabat Syerif Martin County memaklumkan bekas juara kejohanan utama 15 kali itu turut berdepan dakwaan merosakkan harta benda serta enggan menjalani ujian yang diwajibkan undang-undang, lapor BBC.
Advertisement
Syerif John Budensiek berkata kemalangan berlaku di Jupiter Island pada Jumaat apabila kenderaan utiliti sukan (SUV) Land Rover yang dipandu Woods terbabas dan terbalik selepas bergesel dengan sebuah trak pencuci.
Woods, 50, dilaporkan terpaksa merangkak keluar melalui pintu penumpang.
Walaupun Woods melepasi ujian pernafasan dengan bacaan sifar, beliau enggan menjalani ujian air kencing, kata pihak berkuasa.
Polis turut mengesahkan tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden yang berlaku di Beach Road sekitar jam 2 petang waktu tempatan.
Menurut Budensiek, pasukan penyiasat DUI yang tiba di lokasi mendapati Woods menunjukkan tanda-tanda berada dalam keadaan 'terjejas kemampuan'.
Katanya, beberapa ujian tepi jalan dijalankan dan Woods menjelaskan mengenai kecederaan serta pembedahan yang pernah dijalaninya, namun laporan penilaian menunjukkan tahap ketidakupayaan yang mencurigakan.
Selepas ujian dilakukan, Woods ditahan dan dibawa ke Penjara Martin County.
Budensiek menegaskan pihaknya sejak awal tidak mengesyaki alkohol sebagai punca kerana keputusan ujian pernafasan menunjukkan sifar.
Namun, keengganan Woods memberikan sampel air kencing tetap membawa kepada pertuduhan tambahan.
Budensiek berkata Woods “memberi bekerjasama tetapi cuba untuk tidak memberi kebarang kenyataan yang boleh digunakan untuk mendakwa dirinya".
Beliau menambah bahawa Woods mempunyai hak untuk menolak ujian tersebut namun undang-undang menetapkan beliau tetap boleh didakwa atas keengganan itu, dan oleh itu punca sebenar ketidakupayaan ketika kemalangan belum dapat dipastikan.
Ini adalah kali ketiga Woods terbabit dalam kemalangan, denga yang terakhir adalah pada 2021. Beliau juga pernah didakwa kerana memandu dalam keadaan mabuk pada 2017.
Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, ketika diminta mengulas kejadian berkata beliau “berasa sangat sedih” dan menyifatkan Woods sebagai rakan baik serta seorang insan luar biasa.
Trump berkata maklumat lanjut mengenai insiden itu belum dimaklumkan kepadanya.
Menurut pejabat syerif, Woods akan ditahan selama lapan jam sebelum dibebaskan dengan ikat jamin.