DUNIA
Timor-Leste punyai keberanian berbanding sesetengah negara maju - PM Anwar

Anwar berharap Timor-Leste terus konsisten dan menyuarakan pandangan demi kebenaran. - Gambar/ Bernama
DILI: Ketika negara mereka menghadapi kekejaman dan penindasan, Rakyat Timor-Leste telah bangkit menjadi lebih kuat, berdaya tahan, serta memupuk iltizam untuk tidak membiarkan keganasan itu berulang kembali.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketika ada negara yang menunjukkan sifat pengecut moral walaupun lebih maju dari segi ekonomi berbanding Timor-Leste, rakyat negara itu telah menunjukkan keberanian berdasarkan prinsip moral dalam menentang kekejaman dan ketidakadilan yang nyata.
Katanya lagi, dengan status sebagai negara ASEAN ke-11, yang akan dimuktamadkan dalam Persidangan Kemuncak ASEAN pada Oktober ini, Timor-Leste diharap terus konsisten dan menyuarakan pandangan demi kebenaran.
“Kita sentiasa berjaya mengatasi cabaran dan melangkaui batas kejayaan - apabila kita melakukannya bersama-sama. Namun, jika kita saling bertelagah atau cuba mengecualikan sesetengah pihak daripada kerjasama dan kemajuan, masalah akan terus berlanjutan.“Jadi, apabila orang bertanya kepada saya, ‘Anwar, mengapa anda begitu bertegas mahu memastikan Timor-Leste menjadi anggota penuh ASEAN secepat mungkin?’ Jawapan saya mudah. Sama ada sesebuah negara itu baru merdeka atau masih kurang maju dari segi ekonomi, itu tidak penting.
“Ia adalah sebahagian daripada rantau kita, mempunyai pengalaman yang berharga, dan akan menyumbang secara besar kepada usaha kita memperkukuh ikatan ASEAN. Maka, terima kasih kerana bersetuju untuk menjadi anggota (ASEAN),” katanya lagi.
Perdana Menteri berkata demikian ketika menyampaikan Syarahan Presiden bertemakan ‘ASEAN & Peranan Timor-Leste’, dan Penerimaan Penganugerahan Kalung Agung Darjah Timor-Leste di Dili, pada Rabu.
Memetik laporan Bernama, beliau menggesa negara anggota memperkukuh kesepaduan serta kepusatan ASEAN bagi menangkis persaingan geopolitik semakin sengit dan cabaran serantau yang kompleks.
Tegasnya lagi, kesepaduan dan kepusatan ASEAN tidak boleh dipandang enteng.
"ASEAN telah menempuh pelbagai dugaan, namun pengajaran dalam beberapa tahun kebelakangan ini menguatkan apa yang telah difahami oleh para pengasas kita dahulu iaitu kesepaduan dan kepusatan kita bukan sesuatu yang boleh diambil mudah. Ia telah mengalami pasang surut sepanjang hampir enam dekad kewujudan kita (ASEAN).
"Kesepaduan dan kepusatan ASEAN perlu dipertahankan dan diperkukuh secara berterusan. Sekiranya ASEAN berpecah, ia akan menghalang usaha bersama untuk mewujudkan sebuah rantau yang aman dan makmur," kata beliau.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami