DUNIA
Tindakan AS kenakan tarif terhadap negara lain dianggap satu sekatan - Lavrov

Lavrov turut menegaskan bahawa usaha Rusia menjalin hubungan lebih erat dengan ASEAN dan negara-negara BRICS bukanlah tindak balas terhadap mana-mana pihak. - Gambar/ AP
KUALA LUMPUR: Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov pada Jumaat menyifatkan tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat ke atas negara lain sebagai satu bentuk sekatan.
Ringkasan AI
- Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov menyifatkan tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat ke atas negara lain sebagai satu bentuk sekatan, dan menegaskan bahawa hubungan Rusia dengan ASEAN dan BRICS bukan tindak balas terhadap tekanan Barat.
- Lavrov menyatakan bahawa negara-negara ASEAN terus menunjukkan minat untuk bekerjasama dengan Rusia, dan menekankan keutamaan perdagangan adil tanpa ugutan berbanding hubungan yang menindas.
- Presiden AS Donald Trump mengumumkan beberapa pusingan tarif baharu ke atas pelbagai negara termasuk Malaysia, Jepun, Korea Selatan dan Brazil, dengan kadar antara 25 hingga 50 peratus, berkuat kuasa 1 Ogos.
Beliau berada di ibu negara bagi menghadiri mesyuarat peringkat tinggi sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) yang dianjurkan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025.
Lavrov turut menegaskan bahawa usaha Rusia menjalin hubungan lebih erat dengan ASEAN dan negara-negara BRICS bukanlah tindak balas terhadap mana-mana pihak.
"Namun jika diberi pilihan -- sama ada berdagang secara adil tanpa penindasan, atau berdagang dengan pihak yang menggunakan ugutan -- maka pilihannya jelas," katanya.
Sementara itu, Presiden AS Donald Trump baru-baru ini mengumumkan beberapa pusingan tarif baharu ke atas pelbagai negara.
Pada Isnin, beliau mengumumkan tarif antara 25 hingga 40 peratus terhadap 14 negara termasuk Malaysia, selain menandatangani perintah eksekutif untuk melanjutkan penangguhan tarif timbal balik sehingga 1 Ogos.
Pada hari sama, menerusi platform Truth Social, Trump turut memaklumkan bahawa tarif sebanyak 25 peratus akan dikenakan ke atas import dari Jepun dan Korea Selatan bermula 1 Ogos.
Tarif tambahan turut diumumkan pada Rabu melibatkan enam lagi negara iaitu Algeria, Brunei, Iraq, Libya, Moldova dan Filipina.
Selain itu, Trump turut mengumumkan bahawa tarif sebanyak 50 peratus akan dikenakan ke atas barangan import dari Brazil, yang turut berkuat kuasa 1 Ogos.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami