TEHRAN: Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, memberi amaran kepada Amerika Syarikat (AS) supaya meninggalkan rantau Asia Barat jika mahu kekal selamat, susulan serangan udara terbaru yang dilancarkan terhadap Iran.
Dalam kenyataan di platform X, Araghchi berkata tindakan Washington menunjukkan ia masih mencabar keteguhan Iran walaupun berdepan tekanan di medan konflik.
“Tinggalkan rantau kami jika anda mahu selamat. Angkatan bersenjata kami yang kuat tidak akan membiarkan sebarang serangan atau ancaman tanpa jawapan,” katanya.
Despite its defeats on the battlefield, the U.S. opted to test our determination.
Our Powerful Armed Forces will leave no attack or threat unanswered.
Leave our region if you want to be safe.
History of the Persian Gulf has many chapters on dire fates of intruding outsiders. pic.twitter.com/O17GGtklxA— Seyed Abbas Araghchi (@araghchi) June 9, 2026
Kenyataan tegas itu dibuat ketika ketegangan antara kedua-dua negara terus meningkat susulan tindakan ketenteraan AS yang disifatkan sebagai “serangan mempertahankan diri”.
Dalam perkembangan berkaitan, media kerajaan Iran melaporkan bahawa situasi di selatan negara itu kini kembali tenang selepas serangan udara AS berakhir.
Serangan tersebut dilaporkan menyasarkan beberapa lokasi termasuk Pulau Qeshm, Sirik, Jask dan Kuh-e Mobarak.
Walaupun tiada butiran lanjut mengenai tahap kerosakan atau korban didedahkan setakat ini, pihak berkuasa Iran memaklumkan bahawa keadaan keselamatan kini terkawal.
Serangan itu dipercayai merupakan tindak balas AS terhadap insiden sebelumnya yang melibatkan helikopter tentera negara itu di Selat Hormuz, yang mencetuskan pertikaian antara Washington dan Tehran.
Perkembangan terbaharu ini menambahkan lagi tekanan terhadap usaha diplomatik yang sedang dijalankan antara kedua-dua pihak, di samping meningkatkan kebimbangan terhadap kestabilan di rantau Asia Barat yang sememangnya rapuh.
Sehingga kini, kedua-dua negara masih belum menunjukkan tanda-tanda untuk meredakan ketegangan secara menyeluruh.