Skip to main content

Malaysia

Dakwaan kunjungan Tun Musa ke Dubai atas urusan peribadi tidak benar - Pejabat Yang Dipertua Negeri Sabah

Tun Musa (berdiri, lima dari kiri) dan Toh Puan Faridah (berdiri, lima dari kanan) bergambar kenangan bersama penerima sumbangan. JAPENSABAH
Tun Musa (berdiri, lima dari kiri) dan Toh Puan Faridah (berdiri, lima dari kanan) bergambar kenangan bersama penerima sumbangan. - Gambar JaPen Sabah
Advertisement

KOTA KINABALU: Dakwaan yang tersebar di media sosial mendakwa Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman berkunjung ke Dubai atas urusan peribadi adalah tidak benar, kata Pejabat Yang Dipertua Negeri Sabah hari ini.

Menerusi satu kenyataan yang disiarkan di laman Facebook Yang Dipertua Negeri Sabah, pejabat itu menjelaskan bahawa lawatan yang dilakukan awal tahun ini merupakan lawatan rasmi ke Mesir, dengan Dubai hanya berfungsi sebagai perhentian transit untuk mengisi minyak pesawat sebelum perjalanan diteruskan ke Kaherah.

Menurut pejabat itu, program rasmi Tun Musa di Mesir tertumpu kepada memperkukuh kerjasama pendidikan dan menjaga kebajikan pelajar Sabah yang belajar di negara tersebut.

Semasa lawatan tersebut, beliau menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Majlis Agama Islam Sabah (MUIS) dan Dar Al-Ifta Al-Misriyyah, mengadakan perbincangan dengan Universiti Al-Azhar, merasmikan pembukaan Dewan Al-Imam Al-Tayeb dan menghadiri Majlis Mahabbah bersama kira-kira 350 pelajar Sabah.

“Komitmen Tun Musa kepada pelajar Sabah telah lama terjalin. Semasa tempoh perkhidmatannya sebagai Ketua Menteri, beliau telah memulakan pemerolehan sebuah asrama pelajar di Mesir bernilai jutaan ringgit, bagi memastikan pelajar Sabah mempunyai penginapan khusus. 

"Ini mencerminkan komitmen  berterusan beliau terhadap kebajikan, keselesaan dan masa depan anak muda Sabah," menurut kenyataan itu.

Mengenai dakwaan penggunaan pesawat rasmi untuk menunaikan Umrah selepas lawatan itu, pejabat tersebut memaklumkan keistimewaan itu diberikan mengikut budi bicara Kerajaan Negeri Sabah.

Keistimewaan yang sama juga telah diberikan kepada Yang Dipertua Negeri sebelum ini semasa tempoh perkhidmatannya.

“Oleh itu, adalah dikesali bahawa sesetengah pihak terus menyalahtafsirkan lawatan rasmi Tun Musa sebagai penyalahgunaan dana awam.

"Dakwaan sedemikian tidak berasas dan nampaknya bertujuan untuk mencemarkan reputasi beliau dan menarik Institusi Yang Dipertua Negeri ke dalam naratif politik partisan untuk kepentingan politik yang sempit," katanya.

Pejabat itu juga menggesa semua pihak agar tidak menyebarkan maklumat palsu atau mengelirukan dan menegakkan wacana awam yang bertanggungjawab berdasarkan fakta dan menghormati institusi negara.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement