Skip to main content

Malaysia

Persefahaman nasional, antarabangsa penting untuk perkukuh keselamatan nuklear

51759231490_MuhammadRawiMohame.jpg
Muhammad Rawi berkata pendekatan Pengurusan Sekuriti Bersepadu akan memastikan aspek sekuriti nuklear menjadi keutamaan dalam perancangan, operasi harian dan setiap keputusan yang dibuat oleh sesebuah organisasi nuklear. - Gambar fail
Advertisement

PUTRAJAYA: Sekuriti nuklear memerlukan persefahaman erat di peringkat nasional dan antarabangsa bagi memastikan keselamatan bahan serta kemudahan nuklear terus diperkukuh, kata Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia Dr Muhammad Rawi Mohamed Zin.

Beliau berkata pendekatan Pengurusan Sekuriti Bersepadu akan memastikan aspek sekuriti nuklear menjadi keutamaan dalam perancangan, operasi harian dan setiap keputusan yang dibuat oleh sesebuah organisasi nuklear.

"Fokus utamanya adalah untuk memastikan setiap pihak tahu peranan masing-masing agar tindakan yang efisyen dan bersepadu dapat diambil sekiranya berlaku sebarang kecemasan atau sesuatu kejadian sekuriti nuklear.

"Sebagai agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Agensi Nuklear Malaysia terus komited menyokong agenda kerajaan dalam memperkukuh ekosistem sekuriti nuklear negara melalui pembangunan modal insan, pengukuhan kompetensi teknikal dan jalinan kerjasama strategik di peringkat antarabangsa," katanya dalam kenyataan selepas merasmikan Bengkel Pengurusan Sekuriti Nuklear Bersepadu, di sini, hari ini.

Bengkel anjuran Jabatan Tenaga Pentadbiran Keselamatan Nuklear Kebangsaan (DOE/NNSA) Amerika Syarikat dengan kerjasama Agensi Nuklear Malaysia itu berlangsung selama tiga hari bermula hari ini, melibatkan 31 peserta dari Malaysia, China, Mongolia, Singapura, Indonesia, Thailand, Kazakhstan, Uzbekistan, Sri Lanka, Filipina dan Vietnam.

Muhammad Rawi berkata penganjuran bengkel serantau itu mencerminkan komitmen negara dalam menyokong usaha berterusan memperkukuhkan kerjasama antarabangsa dalam bidang sekuriti nuklear serta meningkatkan keupayaan profesional berkaitan pengurusannya.

Beliau berkata bengkel itu turut memperkukuh hubungan negara serantau dalam pembangunan kapasiti, perkongsian kepakaran teknikal, pemindahan pengetahuan serta pengukuhan amalan terbaik dalam sekuriti nuklear selaras dengan piawaian antarabangsa. 

"Penganjuran bengkel ini juga selaras dengan matlamat dokumen Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) INFCIRC/908 dalam menyokong usaha untuk mitigasi ancaman dalaman bagi keselamatan nuklear di peringkat antarabangsa," katanya.

Selain itu, katanya, bengkel tersebut turut memberi tumpuan kepada latihan praktikal dalam pengurusan krisis sekuriti nuklear serta pelbagai senario simulasi yang mendedahkan peserta kepada pendekatan sistematik dalam mengenal pasti ancaman, menilai risiko serta melaksanakan tindakan balas yang pantas, tepat dan berkesan sekiranya berlaku insiden sekuriti yang melibatkan bahan atau kemudahan nuklear.

Beliau berkata penganjuran bengkel itu merupakan sebahagian daripada usaha untuk menyokong pelaksanaan Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030 (DTNN 2030).

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement