MOSCOW: Pergerakan kenderaan di Jambatan Crimea kembali pulih, tetapi hanya satu lorong boleh dilalui secara bergilir-gilir, lapor Sputnik memetik kenyataan Timbalan Perdana Menteri Rusia Marat Khusnullin.

Awal hari itu, Jawatankuasa Antikeganasan Kebangsaan Rusia mendakwa Kyiv melakukan serangan pengganas di Jambatan Crimea menggunakan dua dron bawah air, menyebabkan struktur di jambatan itu rosak.

Dua terbunuh dan seorang kanak-kanak cedera dalam kejadian itu.

Pihak berkuasa telah menjalankan pemeriksaan awal ke atas rasuk jambatan dan mengesahkan ia boleh dilalui kenderaan, kata Khusnullin.

Jambatan mercu tanda yang menghubungkan Crimea ke tanah besar Rusia telah beberapa kali diserang.

Pada 8 Okt 2022, Jambatan Crimea itu rosak selepas sebuah trak diletupkan yang Moscow percaya dilakukan oleh Perkhidmatan Khas Ukraine.

Pada Mei lepas, jambatan itu dibaiki sepenuhnya dan operasi lalu lintas kereta api dapat dipulihkan.

-- BERNAMA