DI sebalik nasihat pakar kesihatan Amerika Syarikat (AS), Presidennya Donald Trump bertegas vaksin yang selamat dan efektif sudah sedia untuk digunakan, dan dihasilkan dalam skala yang besar.

CNN melaporkan, keyakinan Trump, jelas bertentangan dengan pandangan Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS CDC), Dr Robert Redfield, yang dianggap Trump sebagai seorang yang ‘keliru’.

Trump juga berdegil dan tidak mahu menurut saranan Redfield agar sentiasa memakai pelitup muka ketika di tempat awam, walaupun Trump sendiri menyarankan kepada rakyat AS untuk melakukan perkara itu.

Redfield pada Rabu berkata bahawa pemakaian pelitup muka lebih efektif untuk melindungi manusia daripada koronavirus, berbanding mana-mana vaksin yang Trump sarankan.

Redfield juga menjangkakan vaksin yang benar-benar efektif boleh mula digunakan pada suku kedua atau ketiga tahun 2021.

Kedua-dua kenyataan itu jelas bercanggah dengan apa yang sering Trump sarankan.

“Saya rasa Redfield telah membuat kesilapan bila dia kata begitu. Maklumat yang dia berikan tidak tepat,” kata Trump mengenai Pengarah CDC yang beliau sendiri lantik itu.